KELEGAAN bagi pemain skuad futsal Sarawak United apabila pihak pengurusan bakal mengekalkan mereka bagi menghadapi kempen Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2021.
Pengurus Pasukan, Mohd. Zaifulfadillah Junaidi memberitahu, perancangan awal pihaknya tidak mahu melakukan sebarang rombakan atau perubahan dengan barisan pemain sedia ada.
“Perancangan kita memang mahu mengekalkan pemain ini untuk menghadapi saingan musim akan datang,” ujarnya ketika diminta mengulas perkara itu.
Bagaimanapun tegas beliau, ia terpulang kepada situasi sebaliknya atau dengan erti kata lain sekiraya terdapat kalangan pemain yang mahu menarik diri daripada skuad.
“Jika ada kalangan pemain yang mahu menarik diri atas sebab pertembungan masalah dengan kerjaya dan sebagainya, pihak kita tiada masalah,” tambah beliau lagi.
Bagaimanapun, jelas Zaifulfadillah pihaknya juga bercadang memanggil pemain Sarawak yang beraksi bersama beberapa pasukan di seberang laut (Semenanjung Malaysia) untuk menyarung pasukan itu pada musim baharu nanti.
Menurutnya lagi, sememangnya ada rahmat di sebalik pembatalan saingan MPFL 2020 yang diumumkan badan induk tertinggi, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.
Katanya, apa yang berlaku secara tidak langsung dapat memberi peluang untuk pihaknya membentuk satu pasukan baharu yang mantap pada masa akan datang.
“Kita akan lebih bersedia untuk menghadapi saingan musim baharu kelak dengan himpunan pemain sedia ada sekarang,” jelas beliau.
Oleh Faizal Bujang