EARL ANEK
SARIKEI: Pengguna di kawasan ini dan sekitarnya tidak perlu membuat pembelian panik dalam menghadapi wabak Covid-19.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarikei, Mohamad Zawawi berkata, pihaknya sentiasa membuat pemantauan ke atas bekalan barangan keperluan.
“Tidak perlu ‘panic buying’ (pembelian panik), kami sentiasa memantau dan memastikan bekalan barang keperluan sentiasa mencukupi di pasaran.
“Setakat ini tiada laporan mengenai wujudnya pembelian panik di sini,” katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini semalam.
Katanya, peniaga juga diingatkan agar tidak menaikan harga dan menyorok barangan terutama barang-barang keperluan harian.
“Tindakan tegas akan diambil dan sekiranya didapati ada kesalahan peniaga boleh didenda di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011.
“Sebarang aduan berkaitan bekalan dan harga serta pembelian panik, pengguna boleh menghubungi Bilik Gerakan KPDNHEP Sarikei di talian 084-657751,” ujarnya. Mohamad turut menasihati orang ramai supaya jangan panik kerana bekalan barangan mencukupi di pasaran.