LAWAS: Kerajaan Sarawak bersetuju untuk menyalurkan bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir besar di Daerah Lawas pada Mei lalu.
Banjir besar yang berlaku pada 20 hingga 23 Mei di kawasan sepanjang Batang Trusan Lawas telah mengakibatkan kerosakan harta benda, tanaman,ternakan penduduk yang terlibat dan kemudahan awam lainnya.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ditemui selepas melawat ke tiga lokasi sekatan jalan raya di Daerah Lawas memaklumkan bantuan ihsan ini bertujuan membantu penduduk terjejas membina semula kehidupan mereka dan bangkit semula meneruskan kehidupan.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak memaklumkan kerajaan GPS pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg amat perihatin dengan musibah yang telah melanda dan meluluskan permohonan yang dikemukakan Awang Tengah.
Sejumlah 2,535 ketua isi keluarga terjejas telah dikenal pasti dan setiap ketua isi keluarga akan menerima bantuan wang ihsan RM700.
Ini membabitkan peruntukan berjumlah RM1.7 juta yang akan disalurkan melalui Pejabat Daerah Lawas dalam masa terdekat ini.
Selain itu kemudahan seperti jambatan yang rosak dan putus serta kemudahan awam lain yang terjejas juga akan dinilai untuk dibaik pulih melalui jabatan dan kementerian bertanggungjawab.
Turut hadir, Timbalan Menteri KPLB, Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang, Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah NRDA Datu Ubaidillah Latip, Pengarah UKAS Samat Junai dan ketua-ketua jabatan lainnya.
Oleh ADENG EDRUS