LUNDU: Sebanyak 1,030 keluarga dari kawasan Sampadi dan Lundu menerima bantuan keperluan makanan daripada Kerajaan Sarawak menerusi Pusat Khidmat Parlimen Santubong dan Pusat Khidmat Tanjong Datu semalam.
Mereka yang menerima adalah terdiri daripada yang terjejas pendapatan, golongan sasar serta memerlukan bantuan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac sehingga 14 April ini.
Semalam, agihan telah dihantar ke Zon Sampadi dan sebahagian daripada Zon Lundu manakala untuk sebahagian lagi Zon Lundu dan Zon Sematan akan di hantar dalam masa terdekat mengikut peringkat oleh Ketua Kaum Dan Masyarakat Daerah Lundu.
Semua agihan adalah mengambil kira pematuhan PKP sama ada dari segi mengenal pasti golongan sasar, tempat agihan di kampung-kampung dan cara penghantaran ke setiap rumah. Untuk rekod, isnin lalu Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan telah memberitahu peruntukkan tambahan sebanyak RM16. 4 juta telah diluluskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari untuk membekalkan makanan asas kepada golongan sasar di seluruh negeri.