
KOTA SAMARAHAN: Dalam usaha berterusan membantu meringankan beban pelajar, kerajaan Sarawak bakal melancarkan bantuan kewangan berjumlah RM1,200 kepada anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, bantuan tersebut akan disalurkan sepenuhnya melalui platform e-dompet milik negeri, S Pay Global, bagi memudahkan proses agihan secara pantas dan selamat.
“Saya menggesa pelajar untuk segera mendaftar S Pay Global bagi melancarkan proses penyaluran bantuan ini. Elakkan mendaftar di saat akhir bagi mengelakkan kesesakan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan Food Bank dan Dapur Hal Ehwal Pelajar (HEP) pada Masjid Al-Qarawiyyin, UiTM Cawangan Sarawak hari ini.

Beliau berkata, pelajar Sarawak yang berada di luar negeri juga akan menerima bantuan yang sama menerusi aplikasi tersebut kerana penggunaannya kini semakin meluas di seluruh Malaysia.
Dalam pada itu, Fazzrudin turut mengingatkan pelajar supaya memanfaatkan kemudahan disediakan kerajaan Sarawak, termasuk inisiatif bantuan tiket penerbangan untuk pulang ke Sarawak di bawah program Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (IGPS).
“Permohonan boleh dibuat dua kali setahun menerusi aplikasi Yayasan Sarawak bagi menampung sebahagian kos tiket penerbangan balik ke kampung halaman,” ujarnya.
Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan geran berjumlah RM20,000 sumbangan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bagi menyokong pelaksanaan program Food Bank dan Dapur HEP di kampus tersebut, satu inisiatif bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan dari segi keperluan asas harian.
Oleh Amanda L.