ROBAN: Majlis Makan Malam anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Sebetan bukan sekadar medan mengeratkan hubungan, malah menjadi platform penting bagi ibu bapa, pihak sekolah dan wakil rakyat membincangkan usaha memperkukuh pendidikan di kawasan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, beliau berkesempatan menghadiri majlis berkenaan semalam, yang merupakan kali kedua beliau hadir dalam tempoh dua tahun.
Menurutnya, program tersebut memberi ruang kepada semua pihak untuk berinteraksi, menggembeleng tenaga serta mencari kaedah terbaik bagi menyumbang kepada pembangunan sekolah, khususnya dari aspek kewangan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif pendidikan.
“Majlis ini menyediakan peluang dan platform kepada ibu bapa, pihak pengurusan sekolah dan wakil rakyat untuk berinteraksi dan menggembeleng tenaga serta mencari jalan bagaimana kita boleh menyumbang dan membantu sekolah dari segi dana dan inisiatif-inisiatif yang lain.
“Ini demi pembangunan dan memperkasakan pendidikan dalam kalangan penduduk luar bandar,” katanya.
Beliau berkata, sokongan berterusan daripada pelbagai pihak amat penting bagi memastikan sekolah luar bandar terus mendapat kemudahan dan peluang yang sewajarnya untuk meningkatkan kualiti pendidikan murid.
Sebagai rekod, SK Ulu Sebetan sebelum ini pernah menerima peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM150,000 kira-kira dua tahun lalu bagi membantu keperluan pembangunan sekolah.
Majlis tersebut turut dihadiri Ahli Dewan Negara, Senator Pele Peter Tinggom; Guru Besar SK Ulu Sebetan, Raduan Mohamad Zaini; Yang Dipertua PIBG, Mohd Amirul Abdullah; Pengetua SMK Kalaka Roban, Mudie Jantai, barisan guru, ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK), ahli majlis serta ibu bapa.
Kerjasama erat antara pihak sekolah, PIBG, komuniti dan wakil rakyat dilihat mampu menjadi pemangkin kepada usaha memperkasakan pendidikan serta membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda di kawasan luar bandar.
Oleh Adi Safarman





