BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang memperhalusi beberapa garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi kemasukan semula pelajar ke universiti awam serta institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pada Oktober depan.
Timbalan Menterinya, Datuk Mansor Othman berkata kemasukan itu membabitkan pelajar tahun akhir yang menduduki peperiksaan dan mereka yang mengikuti ijazah sarjana muda serta pascasiswazah bagi mod penyelidikan.
“KPT telah berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara dan kami membuat keputusan untuk buka semula institusi pengajian tinggi secara berperingkat bermula 1 Julai hingga 1 Oktober nanti membabitkan beberapa kategori pelajar yang telah diumumkan sebelum ini.
“Bermula esok, pelajar baharu akan mendaftar namun ia menerusi dalam talian sahaja tanpa perlu hadir di universiti awam atau IPTS. Kita sudah ada SOPnya cuma untuk kemasukan Oktober kami masih memperincikan SOP dan ia diharap dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Yayasan An-Nahdhoh bagi membincangkan cadangan kerjasama Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)-Tahfiz yang akan diperkenalkan bagi membantu meningkatkan ilmu kemahiran pelajar tahfiz.
Mansor, yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, berkata bagi kemasukan pelajar baharu, pendaftaran hanya dilakukan secara dalam talian dan semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) juga dilaksanakan secara dalam talian sehingga hujung tahun ini serta tidak dibenarkan secara bersemuka.
Beliau berkata KPT juga sedang menyesuaikan sistem pendaftaran pelajar baharu dengan mereka bentuk semula minggu suai kenal pelajar sesuai dengan keadaan negara yang berdepan penularan pandemik Covid-19.
Mengulas lawatan semalam, Mansor berkata KPT menyasarkan sebanyak 50 pusat tahfiz di seluruh negara terlibat dalam program TVET-Tahfiz menjelang tahun depan.
“Program itu kelak bakal melengkapkan pelajar dengan dua bidang pendidikan sekali gus iaitu tahfiz dan kemahiran agar pelajar mempunyai nilai tambah dalam mencari pekerjaan dan membantu pelajar tahfiz diberikan latihan kemahiran,” katanya. – Bernama