MIRI: Institut Koperasi Malaysia (IKM) Zon Sarawak telah mengadakan Bengkel Pembangunan Pelan Strategik Koperasi Penanam Sawit Mampan Sibuti Berhad yang telah berakhir di salah sebuah hotel dalam bandaraya ini semalam.
Pensyarah Kanan IKM Sarawak, Mohd Suandi Mortadza menerusi siaran medianya memberitahu bengkel ini telah bermula semenjak 9 Julai lepas sambil melibatkan seramai 10 Ahli Lembaga Koperasi dan Pengurusan daripada koperasi berkenaan.
“Bengkel selama dua hari ini adalah merupakan anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKM) Zon Sarawak iaitu salah sebuah agensi yang berada di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).
“Bengkel ini berfungsi sebagai penyediaan rancangan strategik perniagaan koperasi dalam jangka masa panjang di samping membantu koperasi untuk meghadapi situasi perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Selain itu, bengkel berkenaan juga akan membantu koperasi untuk menyemak semula pengurusan dan operasi koperasi sebelum ini agar seiring dengan matlamat penubuhan koperasi,” kata beliau.
Suandi turut memberitahu penganjuran bengkel ini merupakan salah satu inisiatif IKM bagi membantu koperasi kluster kecil dan sederhana yang memiliki potensi untuk dibangunkan dengan lebih terancang.
Malah menerusi bengkel tersebut, pihak IKM Zon Sarawak tambah beliau juga akan membantu koperasi dalam negeri ini untuk menambah nilai aktiviti perniagaan masing-masing.
“Lagi pun Koperasi Penanam Sawit Mampan Sibuti Berhad dipilih bagi tujuan ini kerana ia merupakan sebuah koperasi yang terpilih dalam program Miricle (Million Ringgit Coop League).
“Justeru Pihak IKM Zon Sarawak berharap agar pengisian program bengkel ini akan dapat membantu Ahli Lembaga Koperasi serta Pengurusan daripada koperasi tersebut untuk menjayakan aktiviti dan perniagaan yang telah dan akan dirancang kelak,”katanya.
Suandi juga berharap koperasi dalam negeri ini bertindak mengamal langkah pemantauan terhadap perniagaan mereka untuk mengurangkan risiko kerugian yang bakal ditanggung oleh mereka.
Terdahulu, bengkel berkenaan menyaksikan Suandi bertindak menyampaikan ceramah kepada semua peserta yang hadir sambil dibantu oleh Timbalan Pensyarah IKM Zon Sarawak iaitu Frank Meol.
Pertanyaan berkenaan kursus anjuran IKM Zon Sarawak boleh dirujuk dengan melayari laman web IKM iaitu, www.ikkm.edu.my atau boleh mengikuti laman Facebook Institut Koperasi Malaysia Zon Sarawak.
Oleh Valentine Ngumbang