PETRA JAYA: Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM525,200 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di sini, hari ini.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), zakat itu adalah bertujuan menyokong pembangunan dan kebajikan asnaf di Sarawak.
Ketua Pegawai Sumber Manusia BPMB Sainursalwa Sani, berkata, ini merupakan salah satu sumbangan zakat terbesar dari bank pembangunan.
“Kami percaya ia akan memberikan impak yang bermakna terhadap kebajikan dan pembangunan mereka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, BPMB turut bercadang untuk meningkatkan sumbangan zakatnya pada tahun akan datang dalam usaha memperkukuh sokongan untuk projek pembangunan asnaf di seluruh Sarawak.
Inisiatif ini jelasnya menekankan dedikasi BPMB untuk memenuhi tanggungjawab sosial dan agama, menyumbang kepada masa depan yang lebih adil dan mampan bagi komuniti asnaf di Sarawak.
Hadir sama, Pengurus Besar TBS Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie, Timbalan Ketua Operasi Mohammad Yusree Mohd Zain, Ketua Perundangan, Tadbir Urus dan Perkhidmatan Korporat BPMB Aidil Haznul Zulkifli, Ketua Pengurusan Kumpulan Shariah Noor Ain Mohd Amin, Ketua Perbankan Korporat dan Penasihat Kumpulan Wee Yee Tat dan Ketua Pengurusan Zakat BPMB Ruslan Yohman.