



HANOI: Hujan lebat dan banjir di beberapa wilayah tengah Vietnam mengorbankan 10 orang, manakala lapan lagi dilaporkan hilang dan 22 cedera, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Daik Vietnam pada Khamis, lapor Xinhua.
Lebih 128,000 rumah ditenggelami air, 51 rumah runtuh atau dihanyutkan arus, dan lebih 120 lagi rosak, dengan kira-kira 90 penempatan kumpulan masyarakat dan wad dilanda banjir, menurut laporan itu.
Banjir turut menenggelamkan kira-kira 4,300 hektar sawah padi dan tanaman lain, merosakkan lebih 650 hektar kebun buah-buahan serta mengorbankan lebih 16,300 ternakan dan ayam itik, menurut laporan itu lagi.
Tanah runtuh turut menutup beberapa lebuh raya negara dan puluhan jalan tempatan, menyebabkan gangguan trafik di beberapa wilayah.
Pihak berkuasa tempatan sedang meneruskan operasi menyelamat, menilai kerosakan dan menyalurkan bantuan kecemasan kepada penduduk terjejas, menurut laporan itu. – Bernama-Xinhua