ROBAN: Kira-kira 18 guru serta pelajar dan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Roban berjaya dipindahkan ke tempat selamat susulan kejadian banjir kilat yang berlaku dekat sini hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Saratok Leftenan (PA) Nur Athirah Batu berkata kejadian banjir yang berlaku di sekolah terbabit berikutan fenomena air pasang dan hujan lebat sepanjang malam tadi.
“Hasil pemantauan dan tinjauan di lokasi kejadian mendapati SK Ulu Roban telah dinaiki air di bahagian asrama yang melibatkan jalan utama pelajar sekolah ke bilik darjah dan asrama.
“Setibanya anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di lokasi kejadian,anggota telah menurunkan bot dari lori dan dibantu oleh anggota RELA.
“Selepas itu, anggota APM telah membantu mengalihkan seramai 18 pelajar termasuk guru dan kakitangan sekolah sambil mengangkat barang-barang pelajar ke tempat yang lebih selamat,” katanya.
Nur Athirah berkata fenomena air pasang dan hujan berterusan sejak semalam telah mengakibatkan kawasan yang rendah telah dinaiki air dan air menurun secara perlahan satakat ini.
“Anggota APM telah menasihati pihak sekolah supaya berwaspada dengan keadaan semasa kerana bimbang akan sebarang bencana yang terjadi.
“Tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diaktifkan yang melibatkan sebarang mangsa dilakukan dan proses permindahan pelajar sekolah, guru dan kakitangan sekolah telahpun selesai,” katanya.
Nur Athirah berkata tiada sebarang bencana dan kemalangan jiwa yang berlaku dan menegaskan keadaan masih terkawal.
Oleh ADI SAFARMAN