KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan menggunakan pusat arahan (command centre) untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik sejajar dengan hasrat Kerajaan Sarawak menjadikan negeri ini sebagai negeri maju menjelang 2030.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, perkhidmatan yang berkualiti harus diberikan kepada warga kota Kuching.
“Di peringkat negeri, kita telah menubuhkan pusat arahan di mana semua maklumat akan dikumpulkan dalam satu pusat penyimpanan yang diwujudkan di Bangunan Baitulmakmur 2 (di Petra Jaya).
“Semua maklumat ini akan menjadi nadi kepada kita untuk melihat apa yang berlaku, kegiatan-kegiatan di bawah kawasan masing-masing dan seterusnya untuk kita menaik taraf perkhidmatan kepada rakyat.
“Oleh itu, saya unjurkan supaya MBKS dan DBKU mempunyai pusat arahan sendiri dan pusat arahan ini akan dihubungkan dengan pusat arahan negeri di Bangunan Baitulmakmur 2,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap bersempena dengan Hari Bandaraya Kuching yang ke-33 yang disiarkan secara langsung di TVS, semalam.
Abang Johari berkata, dengan adanya pusat arahan ini kelak ia akan menjadi penghubung dan pertukaran maklumat antara pihak berkuasa tempatan dan juga pusat arahan negeri.
Pada kali ini, DBKU menjadi tuan rumah perayaan tersebut yang bertemakan ‘Transformasi Digital ke arah membentuk Kuching sebagai Bandaraya Pintar’.
“Pusat arahan ini akan menyaksikan apa sahaja yang berlaku di kedua-dua pihak berkuasa dan ia dapat diperbaiki.
“Ini akan sudah tentu akan dimaklumkan kepada kementerian masing- masing untuk kita memperbaiki sekiranya ada kelemahan-kelemahan yang
kita beri setakat ini,” ujarnya.
Ujarnya, dengan adanya komunikasi digital ini sudah tentu ia dapat memperbaiki bidang-bidang yang lemah dalam menyampaikan perkhidmatan.
Sebagai salah satu contoh masalah yang dihadapi semasa wabak pandemik Covid-19 ini adalah masalah pemunggahan sampah kerana beberapa kakitangan Trienekens (Sarawak) Sdn. Bhd menjalani kuarantin.
“Ini adalah salah satu contoh adanya perhubungan kedua-dua pihak dan ia boleh mewujudkan alternatif dari sudut perkhidmatan yang dikehendaki oleh warga Kuching.
“Pihak berkuasa tempatan dapat memainkan peranannya kalau dikehendaki dan juga dengan adanya keperluan daripada kementerian ia akan dapat dilaksanakan dengan baik termasuklah aliran trak yang ada di kawasan masing-masing,” tambahnya.
Katanya lagi, transformasi digital ia bermaksud menggunakan segala perkhidmatan melalui peranti yang memungkinkan perhubungan diantara
pentadbir dan rakyat.
“Apabila kita menyebut perkara digital transformasi, ini bermakna kita akan menggunakan segala perkhidmatan kita melalui peranti yang memungkinkan kita berhubung dengan pantas di antara pihak berkuasa tempatan dan juga warga Kuching sebagai rakyat yang di bawah naungan kita,”katanya lagi.
Oleh JEAKQLEYN YACHO