
MADRID: Sekurang-kurangnya tiga pekerja cedera dalam kejadian runtuhan sebuah bangunan yang sedang diubah suai di tengah Madrid, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik penyiar Sepanyol RTVE dan media lain.
Seorang pekerja mengalami kecederaan serius di bahagian kaki dan telah dibawa ke hospital, manakala dua yang lain hanya cedera ringan. Menurut laporan itu, lima pekerja lain dilaporkan masih hilang.
Bangunan enam tingkat itu runtuh sebahagiannya sejurus selepas 1.00 tengah hari (1100 GMT) berhampiran Plaza de Isabel II, yang juga dikenali sebagai Plaza de Opera. Bangunan itu telah lama menjalani kerja pengubahsuaian dan dianggap tidak berpenghuni.
Sebelas unit pasukan bomba Madrid telah dikerahkan untuk mengawal runtuhan, mengelakkan kejadian runtuhan susulan dan mencari mangsa yang mungkin tertimbus. Anjing pengesan dan dron turut digunakan manakala perkhidmatan kecemasan telah menutup kawasan itu sepenuhnya.- Bernama-dpa