
MIRI: Kisah pengorbanan dan semangat juang seorang anak jati Miri, Lamuddin Kassim, menjadi bukti bahawa insan istimewa juga mampu bangkit meraih kejayaan walaupun berdepan pelbagai cabaran hidup.
Dilahirkan dengan Cerebral Palsy, Lamuddin, 47, pernah mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia apabila mewakili negeri dalam acara Lempar Cakera dari 1996 hingga 2006.
Sepanjang tempoh itu, beliau bukan sahaja merangkul deretan pingat emas, malah berjaya memecahkan rekod Malaysia dalam temasya Sukan Para ASEAN.
Namun, setelah bersara daripada arena sukan, Lamuddin menjalani kehidupan sederhana sebagai petani, dengan pendapatan sekitar RM300 sebulan. Kehidupannya berubah apabila beliau dipertemukan jodoh dengan Razina, seorang wanita istimewa yang menghidap Polio sejak kecil.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 2017 dan berusaha membina masa depan bersama melalui perniagaan kecil-kecilan. Namun segala usaha mereka tergendala apabila pandemik Covid-19 melanda pada 2020, melumpuhkan ekonomi dan menyebabkan mereka kehilangan punca pendapatan.
Sejak itu, mereka bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Kisah Lamuddin mencuri perhatian Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, ketika beliau menyalurkan sumbangan RM25,000 kepada Persatuan OKU Sarawak bagi penambahan bumbung bangunan untuk kegunaan kerja kemasyarakatan golongan OKU.
Tersentuh dengan luahan Lamuddin, Chiew turut menyumbangkan peralatan perniagaan bernilai lebih RM3,000 bagi membantu pasangan itu memulakan gerai kecil berhampiran masjid di Permyjaya.
“Syukur, hasil titik peluh mereka mula membuahkan hasil apabila jualan keropok lekor dan nasi lemak berjaya mengutip kira-kira RM200 pada hari pertama operasi,” kata Chiew menerusi hantaran di laman rasmi Facebooknya, semalam.
Kisah kejayaan kecil ini bukan sahaja menyuntik semangat baharu kepada Lamuddin sebagai bekas atlet para, malah menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 bahawa semangat tidak mudah menyerah mampu membuka ruang harapan walau dalam kesempitan.