SIBU: Inisiatif program Baitulmal Bersama Komuniti yang dianjurkan oleh Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara Baitulmal dan masyarakat setempat.
Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata ia penting untuk menjadikan Baitulmal sebagai pemilikan bersama bagi masyarakat.
“Tujuan program hari ini adalah untuk memastikan orang ramai merasakan bahawa Baitulmal ini adalah milik bersama.
“Kami ingin mereka terlibat bersama kami, dan untuk itu, kami membawa beberapa agensi yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program tersebut di pekarangan Kompleks Islam Sarawak di sini hari ini.
Program ini menarik lebih 800 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat, yang melibatkan aktiviti seperti kayuhan kesihatan, senamrobik, dan penerangan mengenai fungsi agensi-agensi yang terlibat.
Beliau turut menekankan kepentingan keterlibatan semua golongan, termasuk mereka yang bukan Islam, bagi memastikan Baitulmal dapat memberikan kesejahteraan kepada seluruh rakyat.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee, menyatakan penghargaan terhadap peranan penting Baitulmal, khususnya dalam membantu golongan asnaf dan rumah ibadah di Sibu, terutamanya semasa Ramadan dan Hari Raya.
Beliau juga menegaskan bahawa Baitulmal adalah badan pertama yang memberikan bantuan kepada mangsa bencana seperti kebakaran.
“Baitulmal mempunyai tenaga kerja yang pantas dan cekap dalam situasi darurat,” tambahnya.
Oleh TARANI LANTING