SEBUYAU: Projek infrastuktur asas yang sedang rancak dibangunkan di Bahagian Samarahan termasuk bekalan air, naik taraf jalan pesisir, pembinaan benteng laut dan pusat pengumpulan hasil tani bersepadu Sebangan dijangka siap menjelang penghujung 2021.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kesemua pembangunan infrastuktur ini penting untuk merancakkan pembangunan sosioekonomi kawasan terlibat di bahagian Samarahan khususnya pertanian.
“Selain projek bekalan air yang bernilai RM500 juta yang akan dapat menyediakan bekalan air 24 jam, kita turut menaik taraf jalan dari Samarahan sehingga jalan persisir secara sejajar yang mana pasti akan meningkatkan sistem pengangkutan di kawasan ini.
“Selain itu,Kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu (IRSDA) juga memperuntukan RM500 juta untuk membina benteng laut dari Asajaya, Sadong Jaya, Sebangan ke Sebuyau bagi menghalang masalah air masin yang memasuki kawasan pertanian yang menjejaskan hasil tani.
“Pembinaan benteng ini akan menyelesaikan masalah pertanian kerana kawasan ini berpotensi untuk pertanian seperti kelapa, pisang dan nanas,” katanya.
Abang Johari berkata demikian pada sidang media selepas lawatan dan tinjauan projek bekalan air Bahagian Samarahan di Pusat Khidmat Sebuyau, Kampung Sampat, Sebuyau, semalam.
Tambahnya, Kerajaan juga akan membina pusat pengumpulan hasil tani bersepadu di Sebangan, Sebuyau untuk mengumpul hasil pertanian serta perikanan setempat sebelum hasilnya dieksport keluar.
“Kawasan ini juga kaya dengan sumber ikan dari sepanjang Sebuyau ke Muara Tebas dan kita turut akan menyediakan pemeliharaan hasil tersebut seperti ais untuk menyimpan semua hasil sebelum dieksport keluar.
“Kita di Sarawak sibuk dan bersatu untuk membangunkan infrastruktur demi kemudahan rakyat dan kestabilan negeri,” katanya lagi.
Turut hadir Menteri Utiliti Dato’ Sr Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi, Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Naroden Majais dan tetamu kehormat lain.