
TAIPING, 6 Sept -- Badut, Shaharul Hisam, 43, semasa melakukan kerja-kerja sanitasi di sebuah rumah di Taman Aur Air Kuning. Badut antara yang 'pupus' ketika penularan COVID-19 namun bagi Shaharul yang dikenali sebagai Peewit de Clown mengambil inisiatif untuk membuat kemunculan dengan melakukan kerja-kerja sanitasi dari rumah ke rumah bagi memerangi wabak berbahaya ini. Kesungguhan melakukan aktiviti 'fogging clown' oleh Shaharul dengan mengenakan kostum badut di sekitar Taiping baru-baru ini ternyata menarik perhatian dan berjaya menggembirakan orang ramai terutamanya kanak-kanak yang kebosanan ketika berada di rumah.? Dengan berpakaian serba warna warni dan berwatak lucu, beliau sekaligus dapat mengubat kerinduan masyarakat untuk melihat karakter lucunya itu selepas kelibat badut lama tidak kelihatan sejak penularan wabak COVID-19.? Walaupun terpaksa mengambil masa antara 15 hingga 45 minit untuk bersiap menjadi badut dan hanya mengenakan bayaran rendah iaitu RM50 bagi setiap rumah namun dia gembira melakukan kerja berkenaan.?Masyarakat di sekitar Taiping yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan beliau boleh menghubungi beliau di talian 0192714456. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

TAIPING: Seorang badut yang melakukan kerja sanitasi mengubat kerinduan masyarakat untuk melihat keletah karakter lucu itu selepas kelibat mereka lama tidak kelihatan sejak penularan wabak Covid-19.
Badut antara yang ‘pupus’ ketika penularan pandemik itu namun, seorang badut dikenali sebagai ‘Peewit de Clown’ membuat kemunculan dengan melakukan kerja-kerja sanitasi dari rumah ke rumah bagi memerangi wabak berbahaya kini.
Kesungguhan melakukan aktiviti ‘fogging clown’ oleh Shaharul Hisam, 43, dengan mengenakan kostum badut di sekitar Taiping baru-baru ini ternyata menarik perhatian dan berjaya menggembirakan orang ramai terutamanya kanak-kanak yang kebosanan ketika berada di rumah.
Shaharul berkata, dia mula menceburi aktiviti badut bertemakan solekan Agus sejak 2012 dengan menerima tempahan untuk beraksi pada majlis keraian terutamanya Hari Kanak-Kanak dan Hari Kantin Sekolah.
Bagaimanapun, pendapatannya sebagai badut hilang selepas penularan Covid-19 berikutan tiada anjuran majlis dibenarkan untuk dia memberi perkhidmatan seperti membuat belon dan pertunjukan silap mata.
“Saya kemudian mula melakukan kerja-kerja sanitasi dengan berpakaian badut sejak Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 untuk mencipta kelainan dan ternyata ia mendapat sambutan dan diterima masyarakat namun ia dijalankan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) iaitu saya mengenakan pelitup muka dan pelindung muka selain menjaga jarak dengan penghuni.
Bercerita lebih lanjut, Shaharul berkata, walaupun terpaksa mengambil masa antara 15 hingga 45 minit untuk bersiap menjadi badut dan hanya mengenakan bayaran rendah iaitu RM50 bagi setiap rumah namun, dia gembira melakukan kerja berkenaan.
Sementara itu, seorang pelanggan Mohd Ezry Azmin Abdul Wahab, 41, berkata dia berminat untuk mencuba perkhidmatan fogging clown itu selepas melihat perkongsian seorang pengguna dalam laman sosial Facebook baru-baru ini.
— Bernama