
LAWAS: Semua jabatan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan disaran merangka perancangan strategik untuk merancakkan ekonomi setempat, khususnya di kawasan luar bandar seperti Lawas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata pembangunan taman perindustrian serta penyediaan suasana yang kondusif amat penting bagi menarik pelaburan berskala besar ke daerah paling utara di Sarawak itu.
“Kita mahu menjadikan Lawas sebagai salah satu pusat pelaburan utama, sama ada dari dalam atau luar negara.
“Walaupun taman perindustrian telah wujud, kita perlukan inisiatif yang lebih besar dan menyeluruh untuk menarik lebih banyak pelaburan.
“Perkara ini perlu dirancang dengan teliti supaya ekonomi terus berkembang dan masyarakat setempat mendapat lebih banyak peluang terlibat dalam aktiviti ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Lawas di Hotel Seri Malaysia, di sini, hari ini.
Awang Tengah turut menekankan pentingnya pengurusan daerah Lawas dilaksanakan secara tersusun serta berwawasan ke arah menjadikan Lawas sebuah “bandar taman” yang mampan dan mesra alam.
Katanya, pembangunan bandar tidak semestinya bergantung kepada pembinaan bangunan konkrit semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira kelestarian alam sekitar agar manfaatnya dapat dirasai dalam jangka masa panjang.
“Pembangunan lestari perlu menjadi keutamaan supaya alam sekitar terus terpelihara demi kesejahteraan semua,” tambah beliau.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa dan Sam Laya, Residen Bahagian Limbang Yunus Tambi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Ubaidillah Latip, Pegawai Daerah Lawas merangkap Pengerusi Majlis Daerah Lawas Ladin Atok serta beberapa kenamaan tempatan lain.
Oleh Adeng Edrus