KOTA BHARU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan projek rintis operasi bersepadu untuk memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan seluruh negara bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan kemasukan pendatang tanpa izin, terutama ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19.
Panglima Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, projek rintis yang dilancarkan Rabu lepas dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) itu sekali gus membantu usaha kerajaan melandaikan keluk jangkitan Covid-19.
Beliau berkata, ia berikutan wujud beberapa jangkitan varian baharu wabak itu di negara ini, dipercayai berpunca daripada kehadiran pendatang tanpa izin.
“Saya yakin sekiranya kawalan keselamatan dioptimumkan, kita akan berupaya meningkatkan operasi kedua-dua pasukan ini dalam memelihara sempadan negara daripada diceroboh apa jua ancaman,” katanya, kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Pasir Pekan, dekat sini semalam. Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Mohammed Piah.
Muhammad Hafizuddeain berkata, bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan negara, Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) secara progresif membekalkan pelbagai aset dalam memperkasakan keupayaan operasi setiap pasukan keselamatan bertugas.
Sementara itu, mengenai lawatan di Kelantan selama tiga hari bermula kelmarin, beliau berkata, operasi kawalan keselamatan di sempadan Kelantan-Thailand antara ATM dan pelbagai agensi berkaitan berada pada tahap baik.
— Bernama