KUCHING: Atlet Sarawak perlu tampil dengan keyakinan tinggi dan semangat juang yang kental sepanjang temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini penting untuk memastikan emosi dan keyakinan para atlet berada dalam keadaan yang terbaik.
“Saya ingin melihat bagaimana perasaan dari segi emosi mereka, dan juga dari segi keyakinan mereka.
“Kita mahu mereka berada dalam semangat yang tinggi, jangan merasa gentar. Mereka perlu yakin dengan kemampuan diri mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Megalanes E-Mart Batu Kawa di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fatimah turut menjelaskan bahawa setiap peluang yang diberikan harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh para atlet.
“Ini merupakan peluang untuk atlet menunjukkan kebolehan mereka. Gunakan peluang ini sebaik-baiknya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menekankan bahawa sekiranya hasil tidak seperti yang diharapkan, ia bukanlah sesuatu yang harus dirisaukan.
“Jika anda mendapati usaha anda tidak berjaya selepas mencuba yang terbaik, tidak mengapa. Apa yang penting, anda telah memberikan yang terbaik,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal