MESKIPUN atlet dari skuad tenping boling Para Sukma Sarawak sudah mula menjalani latihan pada Isnin lepas. Berbeza dengan situasi dilalui pasukan renang.
Anak didik Sarini@Syarbini Kadri masih belum boleh turun ke kolam renang untuk tujuan sama, sebaliknya masih menunggu arahan sehingga kini.
“Kita belum lagi menerima sebarang perkeliling untuk turun berlatih sehingga kini.
“Apa pun, semua perenang siap siaga malah tiada masalah untuk mereka meneruskan tugasan masing-masing,” ujar Sarini ketika mengulas mengenai perkara itu.
Penyelaras Kontinjen Para Sukma Sarawak, Mathew Chin Hiong Choi memberitahu, pihaknya masih dalam proses mengatur jadual latihan atlet pasukan lain dengan berpandukan Prosedur Operasi Standart (SOP) ditetapkan.
Menurut Mahtew, masih ada beberapa perkara yang perlu diberi tumpuan oleh pihaknya sebelum atlet dari beberapa acara sukan lain dibenar menjalani latihan mereka.
“Kami cuba mengatur untuk menggunakan kemudahan kolam renang di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya, Arena Boling Padang Sarawak, Petra Jaya dan gimnasium di Stadium Sarawak, Petra Jaya sebagai medan latihan membabitkan pemain.
“Apabila segala prosesnya selesai, dan kita akan mengarahkan kesemua atlet dari tiga acara sukan berkenaan memulakan latihan mereka,” tambah Mathew lagi.
Temasya Sukan Para Sukma Johor 2020 akan berlangsung dari 5 hingga 10 April 2021.
Untuk rekod, gergasi dari Bumi Kenyalang (Sarawak) mencipta sejarah tersendiri apabila masih gah dengan status juara sebanyak 13 kali sepanjang tempoh 24 tahun bermula dari 1994, 1996, 1998, 2000, 2002, 2004, 2006, 2008, 2010, 2012, 2014, 2016 dan 2018.
Oleh Faizal Bujang