ATLET yang bakal mewakili Sarawak di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2020 harus lebih bersedia untuk mempraktik tatacara baharu ketika menjalani sesi latihan harian bermula sekarang.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Dr Ong Kong Swee memberitahu, ia berikutan arahan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa latihan dijalankan harus mengikut Prosedur Operasi Standart (SOP).
“Sebagai mana diketahui sesi latihan membabitkan acara sukan kembali dibenarkan.
“Namun, segalanya harus mengikuti SOP ditetapkan oleh pihak berkenaan untuk mengelak sebarang masalah timbul,” ujar beliau pada sidang media ringkas selepas melakukan kunjungan ke Pusat Tenpin Boling Megalanes E-Mart, Batu Kawa semalam.
Sambil menambah banyak perkara yang perlu dilakukan oleh setiap atlet tatkala melaksana rutin berkenaan (latihan).
Tambah Dr Ong, para atlet, jurulatih dan pegawai sukan terlibat harus melakukan saringan suhu badan, memastikan penjarakkan sosial dan menitikberatkan kebersihan diri.
“Amalan terhadap SOP berkenaan perlu dilakukan sebelum memulakan sesi latihan dan selepas,” jelas beliau.
Sambil percaya tiada masalah untuk para atlet, jurulatih mahupun pegawai sukan terlibat mempraktikkan norma baharu berkenaan.
Ini kerana katanya, mereka juga tahu tuntutan bagi mempraktikan semua itu bagi memutusan rantaian virus Covid-19.
Turut serta bersama Dr Ong semalam ialah Presiden Persatuan Tenpin Boling Sarawak (ABAS), Sunny Si Poh Heng, Timbalan Presiden ABAS, Shaifulbahri Shukri, Naib Presiden ABAS, Robert Lu Nam Min, Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (JBS), Abu Zaid Abu Bakar dan jurulatih serta beberapa pemain skuad tenpin boling Sukma Sarawak.
Ditanya kesan terhadap semua atlet sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, Dr Ong akui memang terdapat kesannya walaupun ia tidak menyeluruh.
“Walaupun kemahiran tidak boleh difokus sepenuhnya ketika itu, tetapi pembentukan kecergasan, mentaliti dan pemakanan sihat berjalan lancar.
“Tambahan pula, pihak kita sentiasa memantau sesi latihan atlet menerusi rakaman video untuk memastikan tahap kecergasan kekal pada tahap maksima,” menurutnya.
Presiden ABAS, Sunny Si Poh Heng memberitahu, jika sebelum ini fokus mereka untuk persiapan Sukma XX Johor.
Namun katanya, berbeza ketika ini kerana para atlet diarah untuk turut fokus kepada keselamatan diri.
“Jika sebelum ini atlet fokus kepada sesi latihan untuk menghadapi Sukma XX Johor 2020. Namun, sekarang mereka juga fokus kepada memastikan kesihatan diri sepanjang masa,” jelas Sunny yang turut menyatakan sesi latihan atlet terbabit yang akan bermula 17 Jun ini.
Oleh Faizal Bujang