Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • AS pertingkat pemprosesan visa, persediaan bagi Piala Dunia FIFA 2026
  • SEMASA

AS pertingkat pemprosesan visa, persediaan bagi Piala Dunia FIFA 2026

Utusan Sarawak 4 hours ago
MENJELANG Piala Dunia FIFA 2026, Amerika Syarikat mempercepat urusan visa dan mempergiat persiapan bagi memastikan pengalaman terbaik buat jutaan pengunjung dari seluruh dunia.

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) mempertingkat pemprosesan visa dan melaksanakan persiapan yang rapi untuk menyambut ketibaan berjuta-juta peminat bola sepak antarabangsa sempena Piala Dunia FIFA 2026.

Dengan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum kejohanan mega itu membuka tirainya, Kuasa Usaha Kedutaan AS di Malaysia David H. Gamble Jr berkata Kerajaan AS sedang melakukan segala usaha bagi memastikan acara berkenaan berjalan dengan selamat, berjaya dan memberikan pengalaman yang lancar kepada peminat, keluarga serta atlet sepanjang kunjungan mereka.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan dana lebih daripada AS$1.23 bilion kepada negeri-negeri dan bandar-bandar hos di seluruh negara bagi menyokong penguatkuasaan undang-undang, operasi keselamatan, pengangkutan awam serta sistem pencegahan pesawat tanpa pemandu.

“Persediaan untuk kejohanan ini telah dijalankan selama lebih setahun, dengan keselamatan kekal menjadi keutamaan utama Pasukan Petugas Rumah Putih bagi Piala Dunia FIFA 2026.

“Presiden Trump telah menegaskan bahawa Piala Dunia FIFA 2026™ merupakan peluang sekali dalam seumur hidup untuk memamerkan keindahan dan kehebatan Amerika, dan kami amat teruja untuk mengalu-alukan peminat bola sepak dari seluruh dunia,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Bernama.

Piala Dunia FIFA 2026, yang merupakan edisi terbesar setakat ini, akan dianjurkan bersama oleh Kanada, Mexico dan AS, memamerkan persaingan 48 pasukan dalam 104 perlawanan di 16 bandar hos dari 11 Jun hingga 19 Julai, berbanding 32 pasukan dan 64 perlawanan pada edisi 2022.

“Piala Dunia ini juga menonjolkan usaha bersama antara Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico untuk memastikan keselamatan serta kejayaan acara ini,” katanya.

Gamble menyifatkan acara itu sebagai kejohanan sukan terbesar dan paling kompleks dalam sejarah dunia dari segi jejak  mahupun saiz, sambil menyatakan bahawa AS akan menganjurkan 78 perlawanan di 11 bandar sepanjang kejohanan selama 39 hari itu dan menyediakan 39 kem pangkalan pasukan.

AS dijangka menyambut ketibaan antara lima hingga tujuh juta pelawat antarabangsa untuk acara berkenaan, katanya sambil menambah bahawa berikutan itu, aspek keselamatan  adalah amat penting.

“Agensi penguatkuasaan undang-undang persekutuan, negeri dan tempatan sedang bekerjasama dalam merangka pelan keselamatan yang komprehensif, merancang untuk pelbagai senario berpotensi termasuk kecemasan cuaca, serangan siber dan tindakan berniat jahat yang lain.

“Kami sedang memantau rapi acara global dan sebarang impak berpotensi terhadap Piala Dunia FIFA dan akan menyesuaikan kedudukan keselamatan kami mengikut keperluan untuk menangani ancaman baharu serta memastikan keselamatan mutlak sepanjang tempoh kejohanan,” katanya.

Bagi menyokong permohonan dan pemprosesan visa untuk peminat antarabangsa, Gamble berkata Jabatan Negara AS telah mengerahkan lebih 650 kakitangan konsular untuk memproses permohonan visa yang berkaitan dengan Piala Dunia, di samping mengekalkan piawaian keselamatan ketat yang sama.

“Kami juga telah mengurangkan tempoh masa menunggu di seluruh dunia. Sejak 2025, pemohon di lebih 80 peratus negara di seluruh dunia telah berjaya menjadualkan temu duga visa dalam tempoh kurang daripada dua bulan.

“Dalam banyak kes, termasuk di Kuala Lumpur, ia (tempoh menunggu) adalah jauh lebih singkat,” kata beliau.

Bagi pemohon dari Malaysia, Gamble berkata mereka biasanya boleh mendapatkan janji temu visa pada minggu yang sama, dengan syarat mereka memenuhi keperluan visa dan membuktikan bahawa mereka layak untuk menerima visa AS.

Beliau turut menasihatkan para peminat yang merancang untuk melancong ke AS dan memerlukan visa supaya memohon sekarang di negara kewarganegaraan atau tempat tinggal masing-masing, sambil menambah bahawa maklumat lanjut boleh didapati di laman Soalan Lazim (FAQ) Pas Visa Piala Dunia FIFA 26 di laman sesawang rasmi Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Gamble berkata kejohanan bersejarah ini berbetulan dengan ulang tahun ke-250 Amerika, sekali gus menawarkan peluang unik untuk mempamerkan kebanggaan negara, hospitaliti bertaraf dunia dan sejarah di samping mempromosikan pertumbuhan ekonomi serta pelancongan menerusi sukan.

“Antara sekarang dan tahun 2034, Amerika Syarikat akan menganjurkan sekurang-kurangnya 10 acara sukan antarabangsa utama yang lain, termasuk Sukan Olimpik dan Paralimpik Musim Panas 2028 di Los Angeles.

“Kami berharap apa yang kami lakukan hari ini untuk memastikan Piala Dunia FIFA yang selamat dan berjaya serta akan membawa kepada kejayaan yang sama bagi acara sukan mega masa hadapan sepanjang Dekad Sukan di Amerika,” katanya lagi.

Piala Dunia FIFA 2026 akan bermula di Stadium Mexico City di Mexico dengan menyaksikan perlawanan antara Mexico menentang Afrika Selatan, manakala perlawanan akhir akan diadakan di Stadium MetLife New Jersey, AS pada 19 Julai.- Bernama

Continue Reading

Previous: Haji bukan sekadar perjalanan, madrasah agung transformasi diri dan jiwa
Next: RUU Warga Emas dibentang tahun ini, kerajaan negeri diberi ruang tambah baik cadangan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.