
LOS ANGELES, Amerika Syarikat: Amerika Syarikat (AS) bakal berdepan detik paling penting dalam sejarah bola sepak negara itu apabila menentang Belgium 8.00 pagi esok (waktu Malaysia) bagi merebut tempat ke suku akhir Piala Dunia, selepas penyerang bintang, Folarin Balogun, terselamat daripada penggantungan hasil campur tangan Presiden Donald Trump.
Balogun, yang sudah meledak tiga gol di Piala Dunia, pada asalnya dijangka terlepas aksi di Seattle selepas dilayangkan kad merah terus susulan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) kerana memijak kaki pertahanan Bosnia-Herzegovina dalam kemenangan 2-0 AS pada pusingan 32 terbaik.
Mengikut peraturan FIFA, kad merah terus membawa hukuman penggantungan automatik satu perlawanan.
Bagaimanapun, dua sumber yang mengetahui perkara itu memaklumkan kepada AFP bahawa Trump menghubungi Presiden FIFA, Gianni Infantino, bagi meminta hukuman terhadap Balogun disemak semula.
Badan induk bola sepak dunia itu kemudian mengumumkan hukuman penggantungan berkenaan ditangguhkan selama setahun, dalam keputusan mengejutkan tanpa memberikan penjelasan khusus.
“Terima kasih kepada FIFA kerana melakukan perkara yang betul dan membetulkan satu ketidakadilan besar!” tulis Trump menerusi platform Truth Social miliknya.
Kem AS menyambut baik keputusan itu, dengan jurulatih Mauricio Pochettino menyifatkannya sebagai “adil”, namun tindakan berkenaan mencetuskan kemarahan Belgium serta beberapa pasukan lain.
Persatuan Bola Sepak Diraja Belgium menyatakan mereka “terkejut” dan sedang meneliti “semua pilihan yang ada”.
Jurulatih England, Thomas Tuchel, yang ditanya mengenai kes Balogun selepas seorang pemainnya dibuang padang dalam kemenangan mendebarkan 3-2 ke atas Mexico hari ini, mempersoalkan keputusan itu.
“Di mana sempadannya? Adakah semua hukuman boleh dibatalkan selepas ini?
“Persoalannya, di mana noktahnya? Saya sendiri tiada jawapan,” katanya.
Aksi menentang Belgium membawa taruhan besar buat AS selaku tuan rumah bersama. Bermain di laman sendiri, permulaan cemerlang mereka pada kejohanan itu telah menaikkan harapan penyokong ke tahap tertinggi.
Anak buah Pochettino menyasarkan kemaraan bersejarah sekurang-kurangnya ke suku akhir, pencapaian yang kali terakhir diraih pada Piala Dunia 2002.

Sementara itu, juara Eropah, Sepanyol, akan menentang negara jiran, Portugal, di Dallas bagi merebut tiket ke suku akhir.
Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo, mempertahankan dirinya daripada kritikan yang menurutnya “cuba menjatuhkan saya selama 23 tahun”.
Ronaldo, 41, mengakui beliau bukan lagi pemain seperti dahulu, namun menegaskan prestasinya masih baik dengan tiga gol di kejohanan itu — dua ketika membelasah Uzbekistan 5-0 di peringkat kumpulan dan satu menerusi sepakan penalti ketika kemenangan 2-1 ke atas Croatia pada pusingan 32 terbaik.
“Saya sudah melalui situasi ini sejak berusia 18 tahun dan ia tidak akan berubah.
“Saya sentiasa memberikan sepenuh jiwa dan raga untuk membantu pasukan mencapai matlamat, sama ada bermain atau tidak, saya tetap mempunyai peranan penting,” katanya.
Sepanyol yang bermula hambar pada kempen Piala Dunia ini kembali menemui rentak apabila mudah menewaskan Austria 3-0 pada pusingan 32 terbaik.
Jurulatih Luis de la Fuente berkata pemain sensasi berusia 18 tahun, Lamine Yamal, sudah bersedia menyerlah.
“Dia sukakan perlawanan seperti ini. Dia gemar menjadi tumpuan, memikul tanggungjawab dan mengambil inisiatif,” katanya.
Kemenangan England di Stadium Azteca pada Ahad menyaksikan mereka mara ke suku akhir untuk bertemu Norway pada Sabtu depan, selepas Erling Haaland menjaringkan dua gol menarik bagi membantu Norway menyingkirkan Brazil dengan kemenangan 2-1. – AFP