MUKAH: Arus deras dan jarak penglihatan sifar menyukarkan usaha mengesan seorang warga emas lelaki yang hilang selepas kejadian dua perahu panjang berlanggar di Batang Oya, Dalat pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dalat DSP Saga Chunggat berkata beliau dan seorang penyelam bebas komersial menggunakan kaedah selaman skuba bermula 2 petang dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Dos Katek, 81.
Beliau berkata terdahulu penduduk kampung memulakan pencarian di dasar sungai menggunakan kaedah onak duri rotan yang ditunda dengan perahu panjang.
“Sebanyak empat selaman dibuat untuk mengesan mangsa namun gagal. Arus sungai yang agak deras dan penglihatan sifar dalam air menyukarkan pencarian,” katanya kepada Bernama malam ini.
Saga berkata selaman dihentikan pada 4.30 petang namun penduduk kampung meneruskan pencarian sehingga waktu senja.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta kira-kira 65 penduduk kampung berdekatan yang menggunakan 40 perahu panjang terlibat dalam operasi SAR.
Beliau berkata operasi akan disambung esok pagi dan pihaknya masih menunggu pengesahan kedatangan pasukan penyelam dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu dan Polis Marin Bintulu untuk membantu.
Menurutnya, kejadian berlaku lebih kurang 7.20 pagi ketika mangsa mengemudi perahu seorang diri menghala dari Kampung Klid menuju ke Kampung Sua manakala sebuah lagi perahu panjang dikemudi seorang guru dari arah bertentangan.– BERNAMA
Gambar
Operasi mencari dan menyelamat mangsa dikenali sebagai Dos Katek, 81 tahun.