
SEOUL: Sebuah pameran menonjolkan warisan emas kerajaan Korea akan diadakan di Paris bulan ini, menghimpunkan artifak unik yang menjangkau sejarah seribu tahun, kata penganjur pada Isnin, lapor Agensi Berita Yonhap.
Bertajuk “Silla: Gold and the Sacred. Royal Treasures of Korea (57 BCE-935 CE)”, pameran itu akan diadakan di Muzium Negara Guimet bagi Seni Asia mulai 20 Mei sempena ulang tahun ke-140 hubungan diplomatik antara Korea Selatan dan Perancis.
Ia ialah pameran pertama di Eropah yang didedikasikan secara eksklusif untuk kerajaan Silla dan yang terbesar seumpamanya pernah diadakan di luar negara, menurut pegawai Muzium Negara Gyeongju, yang menganjurkan pameran bersama Guimet.
Pertunjukan itu menampilkan 148 artifak daripada kerajaan yang memerintah kira-kira dua pertiga Semenanjung Korea pada zaman kemuncaknya.
Antara yang diketengahkan ialah mahkota emas dan tali pinggang emas yang digali daripada makam Geumgwanchong, peninggalan yang mula-mula menarik perhatian global terhadap ketukangan Silla lebih seabad lepas.
Dari kebangkitan hingga kejatuhan kerajaan, pameran itu dibahagikan kepada lima tema yang menjejaki sejarah, ekspresi artistik dan kenangan sebuah negara yang berkuasa dan berakar umbi dalam tradisi rohani, menurut muzium Perancis.
“Ia menawarkan perspektif baharu tentang tamadun ini, mendedahkan bagaimana dinamik politik, agama dan estetik saling berkait untuk menghasilkan warisan yang kekal hingga hari ini,” menurut muzium itu dalam laman webnya.
Pameran akan berlangsung hingga 31 Ogos sebelum berpindah ke Muzium Shanghai, tempat ia dijadualkan dibuka pada 22 September. – Bernama