KANOWIT: Jabatan Muzium Sarawak menemui artifak baharu berbentuk serpihan seramik dan bola meriam (cannon ball) semasa proses pemuliharaan Kubu Emma.
Menurut Pemangku pengarahnya, Tazudin Mohtar, penemuan artifak baharu itu ketika arkelogi mereka melakukan survei semasa proses pemuliharaan kubu.
Katanya, Kubu Emma kini berwajah baharu dengan projek pemuliharaan yang menelan kos RM5 juta bermula Ogos 2018 dan siap pada Febuari tahun ini.
“Serpihan seramik dipercayai berasal dari abad ke-17. Kami juga menemui serpihan bola meriam yang bersaiz kecil.
“Penemuan sejarah ini terbukti kegiatan berlaku di tapak kubu pada masa lalu. Kami juga diberitahu bahawa dua pegawai kerajaan ketika zaman pemerintahan Brooke dibunuh di Kanowit,” jelasnya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Tapak Projek Kubu Emma, Kanowit dan Upacara Miring ‘Antu Pala’ di sini semalam.
Pada majlis tersebut, wakil kontraktor Crest Realty Sdn Bhd Wong Fak Ming menyerahkan laporan penyiapan projek kepada Pengurus Wilayah Tengah Jabatan Kerja Rakya (JKR), Anding Unchi.
Anding kemudian menyerahkan dokumen kepada Tazudin dan majlis disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong.
Tazudin memberitahu, penemuan artifak baharu akan dikaji dan dipamerkan di tempat pameran di Kubu Emma bersama dengan artifak yang sedia ada.
“Kubu Emma yang berusia lebih 160 tahun akan dijadikan sebagai muzium warisan Kanowit.
“Kubu Emma antara lima kubu yang dibina pada era kolonial yang kini menjalani proses pemuliharaan dan dinaiktaraf di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.
“Kubu-kubu lain ialah Kubu Lily di Betong, Kubu Brooke di Julau, Kubu Hose di Marudi dan Kubu Sylvia di Kapit,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Tazudin memberitahu, jabatan merancang untuk mengadakan jerayawara tahun depan untuk mendidik orang ramai mengenai Ordinan Warisan Sarawak 2019 yang baharu.
Persidangan DUN Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang Warisan Sarawak 2019, yang disasarkan khusus bagi menjaga aset warisannya dengan lebih baik.
Di bawah rang undang-undang ini, ada empat bahagian baharu diperkenalkan yang terdiri daripada aspek pentadbiran, tugas-tugas dan tanggungjawab pengarah, warisan di dalam air dan juga penguatkuasaan.
“Jerayawara akan dimulakan di Lawas dan berakir di Kuching. Kami mahu orang ramai khususnya golongan belia untuk mengetahui peranan dan tanggungjawab agensi kerajaan untuk memelihara dan mengekalkan warisan sejarah di negeri ini,” katanya.
Upacara miring ‘Antu Pala’ dilakukan untuk mengembalikan sembilan tengkorak manusia di dalam kubu juga dilakukan. Tengkorak tersebut sebelumnya dipindahkan ke pondok sementara di luar bangunan kubu untuk membolehkankerja-kerja pemuliharaan dilakukan.