Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Arteta bengang isu kad merah, Arsenal kembali rampas takhta
  • SUKAN

Arteta bengang isu kad merah, Arsenal kembali rampas takhta

Utusan Sarawak 3 hours ago
ARTETA bengang dua keputusan kontroversi pengadil yang didakwa boleh menggagalkan impian Arsenal menamatkan kemarau kejuaraan EPL sejak 2004. Foto AFP

LONDON: Arsenal kembali berada di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL), namun Mikel Arteta mendakwa cabaran kejuaraan mereka boleh musnah akibat dua keputusan kontroversi apabila lawan terlepas kad merah dalam aksi menentang Manchester City dan Newcastle.

Skuad kendalian Arteta kini mendahului tiga mata di depan Manchester City di tangga kedua selepas jaringan awal Eberechi Eze menghadiahkan kemenangan penting 1-0 ke atas Newcastle, pagi tadi.

Namun, pengendali The Gunners itu berang apabila penjaga gol Newcastle, Nick Pope, tidak dilayangkan kad merah selepas mengasari Viktor Gyokeres pada minit ke-74 di Stadium Emirates.

Pope keluar dari kawasan penalti dan merempuh Gyokeres, tetapi hanya dikenakan kad kuning kerana penyerang Sweden itu berada di sebelah kanan dan tidak mempunyai laluan jelas ke gawang.

Dengan perbezaan jaringan berpotensi menjadi penentu kejuaraan, Arteta percaya Arsenal mampu mencatat kemenangan lebih besar sekiranya Newcastle beraksi dengan 10 pemain.

Sebaliknya, Arsenal hanya sekadar menang tipis, sekali gus meletakkan mereka hanya satu gol di depan City dari segi perbezaan jaringan.

Arteta juga masih tidak berpuas hati dengan kekalahan 2-1 kepada City minggu lalu apabila Abdukodir Khusanov tidak dibuang padang selepas menjatuhkan Kai Havertz.

Pengurus dari Sepanyol itu percaya dua keputusan tersebut boleh menjadi faktor utama dalam perebutan gelaran.

“Saya tak tahu kenapa penjaga gol Newcastle itu tidak dibuang padang. Saya sudah lihat 10 kali. Jika anda pernah tengok bola sepak, anda tahu itu kad merah. Inilah bezanya.

“Saya cuma bercakap tentang realiti dua perlawanan terakhir, pada saat penting ketika segalanya dipertaruhkan, kami perlukan keputusan memihak kepada kami. Saya bukan beri alasan.

“Ia kad merah hari ini dan kad merah di Manchester. Jika keputusan itu memihak kepada kami, situasinya pasti berbeza hari ini,” katanya.

Kenyataan Arteta itu menggambarkan tekanan memuncak di Emirates ketika Arsenal memburu kejuaraan liga pertama sejak 2004.

Kemenangan City 1-0 ke atas Burnley pertengahan minggu lalu menyebabkan Arsenal tergelincir dari puncak buat kali pertama sejak Oktober, sekali gus membangkitkan semula trauma kejatuhan mereka pada 2023 dan 2024 yang membuka ruang kepada skuad Pep Guardiola menjulang trofi.

PEMAIN tengah Arsenal, Eberechi Eze meraikan jaringan ketika menentang Newcastle. Foto AFP

Arsenal tewas dua aksi liga berturut-turut sebelum ini dan kalah empat daripada enam perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.

Sekali lagi mereka bergelut menembusi Newcastle, namun jaringan cantik Eze menerusi sepakan sudut pendek sudah memadai menenangkan penyokong tuan rumah.

“Kami tahu betapa pentingnya perlawanan ini. Kami sudah lakukan tugas kami.

“Bila kedudukan 1-0, ia sentiasa sukar, terutama dengan kualiti pemain yang mereka masukkan.

“Kami cuba cari gol kedua, tetapi bila gagal, anda perlu menang melalui aspek lain,” katanya.

City masih memiliki satu perlawanan dalam tangan dan kekal mengawal perebutan kejuaraan.

Namun Arsenal boleh mendahului enam mata jika menewaskan Fulham hujung minggu depan sebelum City turun menentang Everton pada 4 Mei.

Arteta sedar perjalanan masih panjang sebelum Arsenal boleh menamatkan penantian panjang mereka.

“Kami berada di posisi ini. Saya tak jangka selepas 22 tahun, ia akan jadi laluan penuh bunga dan muzik indah.

“Sangat sukar untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris kerana persaingannya luar biasa.

“Kami hanya perlu buat apa yang dalam kawalan kami. Kami perlu menang dan kami sudah lakukannya. Kami mahu jurang lebih besar, tetapi tidak berjaya,” katanya.

Arteta kini turut menanti perkembangan kecergasan Eze dan Havertz menjelang aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid, Rabu ini.

“Mereka hanya mengalami sedikit masalah otot. Kami tak rasa terlalu serius, tetapi perlu lihat sama ada mereka sempat pulih,” katanya. – AFP

Continue Reading

Previous: Usia hanyalah angka, semua tentang mentaliti dan hati – Azizulhasni
Next: Shah Firdaus yakin capai prestasi terbaik sebelum Sukan Asia 2026

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.