
EINDHOVEN, Belanda: Arsenal semakin menghampiri pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah selepas membelasah PSV Eindhoven 7-1 pada aksi pertama awal pagi tadi.
Jurrien Timber membuka jaringan pada minit ke-18, diikuti jaringan pemain remaja, Ethan Nwaneri sebelum Mikel Merino menjaringkan gol ketiga pelawat pada minit ke-31.
Juara Belanda itu merapatkan jurang menerusi penalti Noa Lang sebelum rehat namun dua jaringan dalam tempoh tiga minit pertama di babak kedua mematikan kebangkitan tuan rumah dengan Martin Odegaard dan Leandro Trossard menemui sasaran.
Odegaard menjaringkan gol keduanya pada minit ke-73 sebelum pemain gantian, Riccardo Calafiori melengkapkan kemenangan lima minit sebelum tamat aksi di Philips Stadion.
Arsenal meraih kemenangan terbesar di tempat lawan dalam kejohanan Eropah dan meletakkan sebelah kaki di suku akhir untuk bertemu sama ada Real Madrid atau Atletico.
Skuad kendalian Mikel Arteta gagal menjaringkan gol dalam dua aksi terakhir Liga Perdana Inggeris mereka, tetapi Declan Rice, yang beraksi cemerlang di bahagian tengah berkata, kemenangan itu tidak mengejutkan.
“Kami rasa kami sentiasa bermain baik sebagai satu pasukan. Ada ketika kami menjaringkan lima, kadang-kadang dua, ada kala kami tidak menjaringkan gol tetapi malam ini kami melakukannya dengan baik,” kata Rice.
Ini adalah kali pertama PSV dibolosi tujuh kali di laman sendiri dan juga kali pertama untuk mana-mana kelab Belanda dibelasah tujuh gol di pentas Eropah.
“Mereka lebih baik berbanding kami dalam semua aspek. Kami membenarkan mereka bermain. Itu yang mereka mahukan. Kami mengejar mereka setiap masa,” kata pertahanan PSV, Olivier Boscagli.-AFP