
LONDON: Badan induk bola sepak dunia, FIFA, akan menilai laporan perlawanan sebelum memutuskan sama ada akan mengambil tindakan terhadap pemain Argentina yang mengangkat sepanduk bertulis “Las Malvinas son Argentinas” (Kepulauan Falkland adalah milik Argentina) selepas kemenangan 2-1 ke atas England.
Seorang menteri Britain menggesa FIFA menyiasat insiden itu susulan perlawanan separuh akhir Piala Dunia di Atlanta.
FIFA dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedang “menilai laporan perlawanan”.
“Seperti prosedur biasa, Jawatankuasa Tatatertib Bebas FIFA sedang menilai laporan perlawanan dan mempertimbangkan semua keadaan berkaitan sebelum memutuskan langkah lanjut yang mungkin diambil berdasarkan Kod Tatatertib FIFA,” menurut kenyataan itu.
Pejabat Perdana Menteri Britain, Keir Starmer di Downing Street turut menyokong gesaan Menteri Perniagaan, Peter Kyle, yang menyifatkan tindakan mengibarkan sepanduk itu sebagai “pelanggaran serius” terhadap peraturan FIFA yang melarang simbol politik dipamerkan di padang.
“Piala Dunia mungkin bukan milik kami, tetapi Kepulauan Falkland sememangnya milik kami,” kata jurucakap Downing Street.
Argentina pernah menceroboh Wilayah Luar Negara Britain di Atlantik Selatan itu pada 1982.
Bagaimanapun, Britain berjaya merampas semula kepulauan berkenaan dalam perang singkat selepas Perdana Menteri ketika itu, Margaret Thatcher, menghantar pasukan tentera laut.
“Politik perlu dipisahkan daripada bola sepak. Malah, antara prinsip utama Piala Dunia ialah politik tidak boleh dicampur dengan bola sepak,” kata Kyle kepada BBC.
Pada 2014, Persatuan Bola Sepak Argentina didenda £20,000 (AS$27,000/RM110,254.50) oleh FIFA selepas pemainnya bergambar di hadapan sepanduk dengan mesej sama sebelum perlawanan persahabatan menentang Slovenia.
FIFA ketika itu memutuskan tindakan berkenaan melanggar peraturan berkaitan “tindakan politik” dan salah laku pasukan.
Britain menduduki Kepulauan Falkland sejak abad ke-19, namun Argentina terus mendakwa kepulauan itu adalah sebahagian daripada wilayahnya.
Presiden Argentina, Javier Milei, menyifatkan tindakan pemain negaranya itu sebagai “wajar dan sah”.
“Ia adalah perasaan yang dikongsi oleh semua rakyat Argentina,” katanya kepada stesen radio El Observador.
“Kepulauan Malvinas adalah milik Argentina. Kami akan mendapatkannya semula dan kami akan melakukannya melalui saluran diplomatik,” kata Milei.
Naib Presiden Argentina, Victoria Villarruel, turut menghangatkan ketegangan menjelang sepak mula perlawanan pada Rabu apabila menyifatkan rakyat England sebagai “lanun yang merampas hak orang lain”.
Konflik pada 1982 itu mengorbankan 649 anggota Argentina dan 255 anggota Britain.
Selepas perlawanan Piala Dunia itu, Menteri Luar Argentina, Pablo Quirno, berkata Buenos Aires telah mengemukakan bantahan rasmi berhubung kehadiran kapal perang Britain berhampiran Kepulauan Falkland.
Menerusi platform X, Quirno menyuarakan “bantahan sekeras-kerasnya” terhadap pelayaran kapal HMS Medway milik Britain yang disifatkannya sebagai “tidak dirujuk dan menyalahi undang-undang” melalui perairan wilayah Argentina. – AFP




