BUENOS AIRES: Ribuan penduduk akan turun ke jalan raya di ibu negara Argentina, Buenos Aires, hari ini untuk membantah kerajaan baharu negara itu walaupun pihak berkuasa dijangka menggunakan kekerasan ke atas mereka, kata ketua Parti Polo Obrero (Parti Pekerja) Eduardo Belliboni, lapor Sputnik.
“Ini adalah demonstrasi pertama, kami tidak akan membiarkan mereka melakukan pemotongan… Esok, ribuan orang akan berada di (jalan-jalan). Apa yang (Menteri Kewangan Argentina Luis) Caputo cadangkan akan menjejaskna golongan pekerja,” kata Belliboni lapor penyiar Argentina TN.
Demonstrasi itu menandakan ulang tahun protes yang berlaku 22 tahun lalu pada Disember 2001 terhadap pembaharuan kerajaan ketika krisis ekonomi yang teruk sedang melanda. Pada masa itu, seramai 38 orang terbunuh selepas bertempur dengan polis.
Pihak berkuasa baharu Argentina telah memperkenalkan peraturan baharu untuk demonstrasi itu.
Menteri Keselamatan Argentina Patricia Bullrich berkata pihak berkuasa akan bertindak jika peserta cuba menyekat jalan raya atau menghalang lalu lintas dan penunjuk perasaan hanya boleh berada di kaki lima.
Minggu lalu, Caputo berkata, pihak berkuasa Argentina akan mengurangkan nilai mata wang negara itu, peso separuh berbanding dolar AS, selain pemotongan subsidi kerajaan untuk tenaga dan pengangkutan.
Beliau juga berkata projek infrastruktur di Argentina akan dilaksanakan oleh pihak swasta tanpa sokongan kerajaan.
Javier Milei dilantik sebagai presiden Argentina pada awal Disember berikutan kemenangannya dalam pilihan raya 19 November mengatasi Menteri Ekonomi Sergio Massa.
Argentina kini menghadapi krisis ekonomi yang teruk dengan inflasi melonjak sebanyak 120 peratus sejak awal tahun 2023.
Milei merupakan penyokong penggunaan dolar dalam ekonomi dan dasar luar negara yang berorientasikan kepada Israel dan Amerika Syarikat. Beliau juga menentang menyertai BRICS dan bekerjasama dengan China, Brazil dan Rusia. – Bernama – Sputnik