
LONDON: Lautan di dunia berdepan tekanan “serius” akibat aktiviti manusia apabila kadar kenaikan aras laut meningkat dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun, menurut laporan diketuai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memberi amaran mengenai keadaan itu serta menggesa usaha global bagi mengehadkan kesan pencemaran dan perubahan iklim, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Faktor tekanan yang semakin meningkat itu, termasuk pencemaran dan aktiviti penangkapan ikan berskala besar, bersifat kumulatif, menurut Penilaian Lautan Dunia Ketiga (WOA III), satu-satunya penilaian bersepadu global mengenai lautan di dunia yang meliputi aspek alam sekitar, ekonomi dan sosial.
WOA III, yang menilai keadaan lautan dari 2021 hingga 2025, merupakan usaha kolektif pasukan penulis antara disiplin membabitkan lebih 650 pakar dari puluhan negara.
Penilaian itu menegaskan pada Isnin bahawa aktiviti manusia menyebabkan kehilangan biodiversiti secara meluas serta meletakkan sistem lautan di bawah tekanan yang “serius”.
Menurut penemuan itu, aras laut terus meningkat pada kadar yang semakin pantas, daripada dua milimeter setahun sebelum 2015 kepada 4.3 milimeter setahun pada 2023.
Kajian itu turut mendapati kira-kira 16 peratus daripada keseluruhan peningkatan kandungan haba lautan sejak 1955 telah berlaku sejak 2018.
“Kita tidak boleh terus menganggap lautan sebagai tiada hadnya. Kerjasama global yang segera diperlukan bagi melindungi ekosistem marin.
“Kita perlu membina hubungan baharu dengan lautan yang berasaskan sains, berpandukan undang-undang antarabangsa dan dibina atas tanggungjawab bersama merentasi negara, sektor dan generasi,” kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.- Bernama-Anadolu