
MADRID, Sepanyol: Bulan April paling panas sejak rekod bermula pada 1961 dicatatkan oleh Sepanyol, dengan suhu purata 15.1°C bulan lalu, menurut agensi meteorologi kebangsaan, AEMET.
Rekod sebelumnya dicatatkan pada 2023 dengan suhu purata 15°C, kata agensi itu dalam satu hantaran di media sosial semalam.
Sepanyol dianggap sebagai antara kawasan barisan hadapan perubahan iklim, dengan mengalami gelombang haba yang semakin panjang, yang kadangkala bermula sebelum musim panas, selain kejadian hujan lebat yang semakin kerap.
AEMET menyifatkan April sebagai “sangat panas” dan memaklumkan bahawa suhu adalah 3.2°C melebihi purata bagi tempoh 1991 hingga 2020. Enam hari dalam bulan April turut mencatatkan rekod baharu suhu harian.
Sepanyol turut mengalami beberapa kejadian kebakaran hutan pada April, terutamanya di bahagian utara, yang dikaitkan dengan keadaan cuaca kering serta suhu yang luar biasa tinggi.
April yang panas ini menyusuli Januari dan Februari paling basah di Sepanyol dalam tempoh 47 tahun.
Sebanyak 11 ribut besar melanda negara itu dari akhir Disember hingga pertengahan Februari, membawa hujan lebat dan angin kencang.
Tahun lalu, Sepanyol mengalami musim panas paling panas dalam rekod, dengan suhu purata 24.2°C.
Eropah dan seluruh dunia dijangka berdepan satu lagi musim panas yang sangat panas apabila fenomena cuaca El Nino, yang mendorong suhu global ke paras tertinggi pada 2024, dijangka kembali pada pertengahan tahun.
Para saintis berulang kali memberi amaran bahawa perubahan iklim akibat aktiviti manusia menyebabkan kejadian cuaca ekstrem yang lebih kerap dan lebih teruk di seluruh dunia. – AFP