TANJUNG MANIS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Tanjung Manis berjaya menahan tiga orang krew sebuah bot nelayan disyaki bot nelayan asing Vietnam lebih kurang 10.45 pagi, 10 Ogos, Isnin lalu.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mohd Ariz Md Kassim menerusi satu kenyataan media kelmarin berkata, bot terbabit ditahan pada jarak kira-kira 33 batu nautika dari utara Tanjung Sirik, ketika pihak Maritim Malaysia sedang melaksanakan operasi Op Permai di sekitar perairan tersebut.
“Pemeriksaan ke atas bot tersebut mendapati tiga orang lelaki termasuk tekong disyaki warganegara Vietnam, berusia lingkungan 19 hingga 54 tahun tidak mempunyai sebarang permit untuk menangkap ikan di perairan negara dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua yang ditahan telah diiringi masuk ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Tanjung Manis, dan telah menjalani ujian saringan Covid-19 sebaik setiba di jeti oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.
Ujarnya, kes tersebut disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai permit untuk melakukan sebarang aktiviti penangkapan ikan di perairan negara dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tekong serta awak-awak tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
“Pihak Maritim Malaysia kini sedang meningkatkan kawalan dan rondaan penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan nelayan-nelayan asing di perairan negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pencerobohan bot nelayan asing atau sebarang aktiviti mencurigakan di perairan malaysia khususnya di perairan Sarawak, supaya menyalurkan maklumat kepada pihak kami dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544 atau pun MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” ujarnya.