VALENTINE NGUMBANG
SIMANGGANG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman telah melaksanakan operasi pemantauan terhadap 11 buah kilang yang beroperasi di dalam Daerah Sri Aman ini semalam.
Ia bertujuan untuk memastikan kilang-kilang itu mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti meminimakan jumlah pekerja, pengurangan pergerakan keluar dan penggunaan penutup muka serta hidung dalam kalangan pekerja.
“Enam dari 11 kilang berkenaan adalah Batang Kanan Trading (Lachau), Segarwit (Lachau), Mascoal (S) Resource (Melugu), WB Palm Oil Trading (Klauh), Lau’s Enterprise (Melugu) dan Hak Swee Rice Mill (Sri Aman.
“Manakala itu selebihnya pula adalah Borneo Eco Fish (Sri Aman), Syarikat Jikong (Sri Aman), Siong Seng Timber (Sri Aman), KFF Ice Works (Sri Aman) dan Seng Hua Chiong (Sri Aman),” kata Pegawainya, Kapten (PA) Siti Huzaimah Ibrahim.
Menerusi operasi pemantauan berkenaan, pihak APM kata beliau mendapati salah sebuah kilang iaitu Mascoal (S) telah bertindak menghentikan operasinya bermula dari 18 Mac hingga 31 Mac ini.
Walaupun ditutup, para pengawal keselamatan di kilang berkenaan kata beliau telah pun dinasihat agar mengamalkan keselamatan dan kebersihan diri bagi mengelak dijangkiti pandemik COVID-19.
“Secara keseluruhannya pihak APM Daerah Sri Aman tidak mengesan sebarang isu di kesemua kilang berkenaan dengan ketua operasi termasuk pekerjanya dinasihat agar mengamal langkah kesihatan bagi menangani pandemik berbahaya ini.
“APM Daerah Sri Aman akan terus mengadakan pemantauan seperti ini pada setiap hari agar arahan penguatkuasaan PKP dapat dilaksana dengan lebih berkesan terhadap kesemua kilang dari masa ke semasa,” kata Siti.
Beliau juga menambah bahawa seramai 27 orang petugas APM Daerah Sri Aman telah pun dikerah bagi melaksanakan operasi pemantauan terhadap kilang-kilang tersebut selama 24 jam secara syif.