
SARATOK: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok telah mengadakan Latihan Orang Awam (LOA) di Sekolah Kebangsaan (SK) Wong Besi bagi meningkatkan kesedaran serta pengetahuan berkaitan keselamatan dan kecemasan dalam kalangan warga sekolah serta masyarakat setempat.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, program yang berlangsung dari 8.30 pagi hingga 10.30 pagi itu melibatkan penyertaan seramai 57 peserta terdiri daripada murid, guru dan orang awam.
Menurut beliau, latihan berkenaan dikendalikan oleh enam Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai Leftenan Muda Farizatul Amirah Ismail bersama lima anggota lain dari APM Saratok.
Katanya, seramai 39 murid, 12 guru dan enam orang awam yang terdiri daripada warga sekolah telah mengikuti sesi latihan tersebut dengan penuh komitmen dan kerjasama.


Leftenan Nur Athirah menjelaskan, antara silibus utama yang diajar sepanjang latihan itu termasuk kaedah menangani renjatan, asas balutan luka dan kepatahan serta pengendalian haiwan reptilia.
Tambahnya, pendedahan seperti itu amat penting bagi membantu peserta memahami tindakan awal yang perlu diambil ketika berlaku kecemasan sebelum bantuan lanjut tiba.
Menurut beliau lagi, latihan tersebut turut memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari teknik asas menyelamat dan pengurusan situasi kecemasan secara praktikal.
Katanya, semua anggota LLP telah tiba di lokasi lebih awal bagi memastikan sesi pengajaran berjalan mengikut jadual yang ditetapkan serta mencapai objektif latihan.
Leftenan Nur Athirah turut memaklumkan bahawa sesi latihan tamat sepenuhnya pada 10.30 pagi dan berlangsung dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan atau insiden tidak diingini.
Oleh Adi Safarman