MARUDI: Seekor ular sawa batik sepanjang 1.4 meter berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marudi selepas ditemui di atas sangkar seekor monyet peliharaan di Kampung Baru, di sini, petang semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Marudi menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 4.48 petang yang memohon bantuan menangkap reptilia tersebut.
Menurutnya, sepasukan anggota APM daripada Skuad Charlie yang diketuai Prebet (PA) Beatrice Kalang bersama tiga anggota lain segera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dari PKOD Marudi.
“Sebaik tiba di lokasi, pengadu memaklumkan ular sawa itu dipercayai cuba membaham monyet peliharaannya yang berada di dalam sangkar,” katanya.
Beliau berkata, anggota APM kemudian menjalankan operasi menangkap reptilia berkenaan menggunakan alat penjerut serta peralatan khas.
“Operasi berjaya diselesaikan dan ular sawa itu berjaya ditangkap sebelum pasukan bertolak pulang ke PKOD pada 5.05 petang,” katanya.





