
MARUDI: Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan kecemasan pada 7.00 petang semalam daripada orang awam yang memohon bantuan bagi memusnahkan sarang serangga yang terdapat pada sebatang pokok berhampiran kawasan Waterfront Marudi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Lt. (PA) Mirwan Shah Masri berkata sebaik menerima panggilan tersebut, sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dari Skuad Bravo telah digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira empat kilometer dari PKOD.
Setibanya di lokasi, Skuad Bravo berjumpa dengan pengadu, Eleena Bakri bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kedudukan sarang serangga berkenaan.
Selepas lokasi dikenal pasti, pasukan tersebut melaksanakan operasi pemusnahan dan berjaya memusnahkan sarang serangga jenis penyengat. Operasi dijalankan dengan kaedah pembakaran sarang serta penggunaan semburan racun serangga Ridsect.
Skuad Bravo kemudian beredar dan kembali ke PKOD selepas selesai menjalankan operasi pada 7.49 petang.