SARIKEI: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarikei telah menjalankan khidmat khas menangkap ular, petang semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 3.35 petang.
“Respons dengan panggilan kecemasan, lima orang anggota APM Sarikei diketuai oleh Koperal (PA) Jeffery Dunging Jeliboh bergegas ke lokasi di Lorong 2D, Taman Susur Jambu.
“Setibanya di lokasi, operasi mengesan ular dijalankan dan didapati seekor ular daun berada di luar beranda rumah tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, ular daun sepanjang satu meter berjaya ditangkap dalam tempoh lebih kurang tiga minit.
“Pasukan APM Sarikei berjaya menangkap dan menjerut ular daun di luar beranda rumah tersebut.
“Operasi menangkap ular selesai sepenuhnya pada 3.55 petang,” katanya.