PUSA: Cadangan penubuhan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Pusa menerima perkembangan positif apabila mendapat sokongan penuh daripada pentadbiran Daerah Pusa dalam usaha memperkukuhkan pengurusan bencana dan kesiapsiagaan komuniti di kawasan tersebut.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor berkata, satu sesi perjumpaan dan perbincangan telah diadakan bersama Pegawai Daerah Pusa, Hamdan Katang, yang melibatkan rombongan daripada APM Daerah Betong.
Beliau berkata, perjumpaan yang berlangsung pada petang semalam itu bertujuan membincangkan cadangan penubuhan APM Daerah Pusa sebagai langkah memperluaskan penyampaian perkhidmatan pertahanan awam kepada masyarakat setempat.
“Penubuhan APM di daerah berkenaan dilihat mampu memperkukuhkan keupayaan pengurusan bencana, di samping mempercepatkan tindak balas terhadap sebarang insiden kecemasan yang berlaku,” katanya dalam satu kenytaaan.

Kapten Mohammad Noor berkata, hasil daripada perbincangan itu, Hamdan menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan tersebut serta mengalu-alukan penubuhan APM Daerah Pusa demi kepentingan masyarakat.
Beliau berkata, sokongan daripada pihak pentadbiran daerah menjadi pemangkin penting bagi merealisasikan penubuhan APM di Pusa sekali gus memperkukuhkan jaringan keselamatan awam di kawasan berkenaan.
Menurutnya, perkara berkaitan lokasi penempatan pejabat APM Daerah Pusa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa selepas penelitian lanjut dilakukan oleh pihak berkaitan.
“Penubuhan APM Daerah Pusa dijangka memberi manfaat kepada penduduk melalui peningkatan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana, selain memperkukuhkan penyelarasan operasi menyelamat dan bantuan kecemasan,” katanya.
Kapten Mohammad Noor berharap segala usaha yang dirancang dapat direalisasikan dalam masa terdekat bagi meningkatkan keupayaan tindak balas kecemasan, memperkukuhkan keselamatan komuniti serta memperluaskan peranan APM dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Oleh Adi Safarman



