
BELURU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beluru bertindak pantas ke lokasi kejadian sebatang pokok tumbang yang menghalang laluan sungai menuju ke Kampung Sungai Nat Ulu Teru, pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Lt. (PA) Mirwan Shah Masri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 8.32 pagi sebelum menggerakkan sepasukan anggota APM ke lokasi.
“Operasi diketuai oleh Pbt. (PA) Sylvia Empiang Tunkai bersama dua anggota lain dari Skuad Bravo APM Beluru. Setibanya di lokasi, mereka mendapati sebatang pokok besar telah tumbang dan menghalang laluan sungai ke kampung tersebut,” jelasnya.
Pasukan APM kemudiannya menjalankan kerja pemotongan dan pembersihan pokok sehingga laluan sungai kembali selamat digunakan oleh penduduk setempat.
Oleh Jiku Juguong