Limpahan sungai besar, hujan lebat jejas lima lokasi di Telang Usan

Facebook
WhatsApp
BANJIR LAGI… Kampung Long Bemang kembali dilanda banjir dengan paras air mencecah 1.3 kaki. Foto: APM Telang Usan

MARUDI: Lima lokasi di Daerah Telang Usan kembali dilanda banjir berikutan limpahan sungai besar yang bertembung dengan hujan lebat berterusan sejak Sabtu lalu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi merangkap Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Telang Usan, Lt. (PA) Mirwan Shah Mari, berkata antara lokasi yang terjejas ialah Kampung Long Bemang melibatkan 580 penduduk daripada 103 pintu rumah dengan paras air mencecah 1.3 kaki, serta Kampung Long Wat yang didiami oleh 200 penduduk daripada 99 pintu mencatat paras air 2 kaki.

PEMANTAUAN BERTERUSAN… Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Telang Usan giat memantau keadaan banjir di Klinik Kesihatan Long Bemang. Foto: APM Telang Usan

Turut terjejas ialah SK Long Wat, yang mempunyai 24 kakitangan, dengan paras air setinggi 2.6 kaki, manakala kawasan sekitarnya mencecah 1.5 kaki. Klinik Kesihatan Long Bemang yang menempatkan empat kakitangan turut dinaiki air dengan paras 35 sentimeter.

Beliau berkata, paras air terus menunjukkan trend menaik di kesemua kawasan yang terjejas, dan pemantauan rapi sedang dijalankan oleh pasukan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Telang Usan.

Oleh Jiku Juguong