TANJUNG MANIS: Aplikasi Sarawak Croc Watch kini boleh diakses oleh orang ramai dengan cara muat turun dari Play Store dan App Store.
Ia merupakan sebuah aplikasi mesra pengguna yang dibangunkan khas untuk memudahkan orang ramai melakukan laporan penemuan buaya serta mendapatkan maklumat mengenai penemuan buaya di negeri ini.
Aplikasi ini telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh selaku wakil Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pelancarannya diadakan di tapak Pesta Belawai pada majlis penangguhan Pesta Belawai 2024, semalam.
Ia adalah aplikasi yang dibangunkan bersama oleh Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Sarawak Informations System Sdn Bhd (SAINS).
Ia mempunyai lima ciri utama iaitu laporan penemuan buaya, peta umum penemuan buaya, 3M (mengenali, memahami dan memulihara) buaya, serangan buaya dan contact (hubungi).
Ciri pertama iaitu laporan penemuan buaya adalah untuk orang ramai membuat laporan mengenai penemuan buaya.
Ciri kedua iaitu peta umum penemuan buaya memberikan orang ramai maklumat umum terkini dalam bentuk titik panas (hot spot) mengenai laporan penemuan buaya.
Ciri ketiga iaitu 3M buaya adalah bertujuan untuk memberikan kesedaran dan maklumat konservasi kepada orang ramai melalui kaedah mengenali, memahami dan memulihara hidupan liar.
Ciri keempat iaitu serangan buaya adalah bagi berkongsi maklumat kepada orang ramai berkenaan serangan buaya yang telah berlaku dan telah disahkan oleh pihak berkuasa.
Sementara ciri kelima iaitu ‘contact’ memudahkan orang ramai membuat laporan atau khidmat kecemasan sekiranya berlaku serangan buaya dengan menghubungi senarai nombor talian kecemasan Hotline SFC.
Hotline SFC bagi Bahagian Kuching adalah 019-8859996, 084-349455 (Bahagian Sibu), 019-8332737 (Bahagian Bintulu) dan 019-8290994 (Bahagian Miri).
Selain itu, orang ramai boleh berhubung dengan pihak polis di talian 999, bomba (994), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (991) dan TALIKHIDMAT (555999).
Turut hadir semasa pelancaran aplikasi ini ialah Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Abang Arabi Abang Aimran dan Ketua Pegawai Eksekutif SAINS, Busiai Seman.
Oleh Earl Anek