
MAKKAH: Nusuk merupakan antara platform digital utama yang didedikasikan untuk meningkatkan perkhidmatan haji dan umrah serta memudahkan perjalanan jemaah dari seluruh dunia, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Aplikasi yang dilancarkan Kementerian Haji dan Umrah itu merupakan sebahagian daripada usaha transformasi digital Arab Saudi bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih lancar, berkualiti tinggi dan tersusun.
Nusuk dibangunkan untuk menyatukan serta memudahkan perkhidmatan yang sebelum ini disediakan oleh pelbagai entiti.
Ia kini menjadi platform komprehensif yang menghimpunkan perkhidmatan kawal selia, bimbingan, pendidikan dan pengayaan.
Platform berkenaan kini memberi perkhidmatan kepada lebih 51 juta pengguna di lebih 190 negara dan menawarkan lebih 130 perkhidmatan digital, sekali gus mencerminkan kedudukannya sebagai platform global yang memenuhi keperluan jutaan umat Islam di seluruh dunia.
Aplikasi itu menyediakan rangkaian perkhidmatan bersepadu bermula daripada peringkat perancangan perjalanan sehingga selesai pelaksanaan ibadah.
Ia membolehkan pengguna mengeluarkan permit umrah dan ziarah, mengurus kemasukan ke Dua Masjid Suci serta menempah janji temu di Al-Rawdah Al-Sharifah.
Nusuk turut menawarkan perkhidmatan perjalanan termasuk tempahan hotel, pengaturan pengangkutan serta integrasi dengan tempahan perjalanan udara dan darat.
Platform itu juga menyediakan panduan di dalam masjid dan kawasan suci menerusi peta pintar yang membantu navigasi serta memantau pergerakan orang ramai, sekali gus menyokong pengurusan lebih teratur, keselamatan dan pengalaman pengunjung yang lebih baik.
Peranan Nusuk turut merangkumi perkhidmatan pendidikan dan kesedaran.
Aplikasi itu menyediakan panduan terperinci langkah demi langkah untuk menunaikan ibadah, selain doa, waktu solat dan arah kiblat.
Dengan itu, aplikasi berkenaan berfungsi sebagai teman komprehensif kepada pengguna sepanjang semua peringkat perjalanan mereka, menggabungkan penyampaian perkhidmatan, pengurusan dan sokongan kerohanian dalam satu pengalaman bersepadu.
Nusuk menyumbang kepada transformasi besar dalam pengalaman haji dan umrah dengan mengurangkan prosedur tradisional, meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan menambah baik pengurusan orang ramai.
Transformasi itu selari dengan wawasan Arab Saudi untuk meningkatkan pengalaman jemaah serta mutu perkhidmatan.
Melalui perkhidmatannya, aplikasi itu memperkukuh konsep perjalanan digital yang bersepadu berasaskan kemudahan, ketepatan dan keselesaan. – Bernama-SPA