KUALA LUMPUR: Pencapaian cemerlang dan sumbangan 44 pengamal sumber manusia yang menyerlah dalam pembangunan modal insan di peringkat nasional telah mendapat pengiktirafan pada Anugerah Pembangunan Sumber Manusia 2023 (Anugerah HRD 2023) di sini, semalam.
Anugerah itu terdiri daripada tiga kategori utama termasuk Anugerah Menteri Sumber Manusia yang mengiktiraf majikan dan Anugerah HRD Corp bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana, penyedia latihan serta jurulatih.
Kategori baharu yang ditambah tahun ini ialah Anugerah Kecemerlangan bagi meraikan kecemerlangan dalam kepelbagaian dan inklusiviti, kemahiran masa depan, pembangunan graduan, teknologi pembelajaran, matlamat pembangunan lestari (SDG), pengurusan bakat dan kepimpinan, latihan inovasi, TVET, Pasukan Sumber Manusia (HR) Tahun Ini serta Ikon HR dalam sektor awam dan swasta.
Antara pemenang yang menggondol anugerah dalam beberapa kategori ialah Maybank, Petronas, Pos Malaysia, Indah Water Consortium (IWK), Revertex Malaysia Sdn Bhd dan Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd.
Satu anugerah istimewa turut diberikan kepada seorang filantrofi dan usahawan Qatar yang menghidap sindrom regresi kaudal, Ghanim Al Muftah, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen pemberdayaan serta menjadi sumber inspirasi kepada komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) di seluruh dunia.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Anugerah HRD adalah platform terbaik bagi meraikan syarikat-syarikat yang bukan hanya proaktif dalam melatih pekerja malah mencipta pendekatan inovatif dalam usaha meningkatkan amalan pengurusan pihak mereka.
“Ia berfungsi sebagai kayu pengukur keupayaan tenaga kerja kita berbanding himpunan bakat global sekali gus menggariskan komitmen Malaysia dalam memandu pertumbuhan pembangunan modal insan merentasi rantau ASEAN,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis itu.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua finalis dan HRD Corp atas sumbangan serta dedikasi mereka ke arah memperkukuh ekosistem pembangunan modal insan Malaysia.
Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar pula berkata anugerah itu membuktikan komitmen HRD Corp untuk mengiktiraf serta menggalakkan kecemerlangan di tempat kerja dengan menekankan kepentingan memupuk budaya pembelajaran, pembangunan dan peningkatan yang berterusan.
Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud dan Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp Datuk Shahul Dawood. – Bernama