DEBAK: Seekor anjing liar yang tersangkut pada jaring di tepi sebuah rumah di Kampung Dit, di sini, berjaya diselamatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Debak, hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Debak, Leftenan Muda Mohd Hanif Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 9.37 pagi yang memaklumkan mengenai kejadian itu.
Menurutnya, empat anggota APM kemudian digerakkan dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Debak pada 9.40 pagi dan tiba di lokasi kira-kira 17 minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, anggota mendapati seekor anjing liar tersangkut pada jaring di tepi rumah pengadu.

“Anggota segera menyediakan peralatan keselamatan dan menjalankan usaha melepaskan haiwan berkenaan daripada jaring tersebut,” katanya dalam satu kenytaaan hari ini.
Beliau berkata, operasi menyelamat itu berjaya dilakukan dalam tempoh beberapa minit tanpa sebarang kecederaan kepada pengadu mahupun anggota yang terlibat.
“Anjing berkenaan berjaya dilepaskan dan diselamatkan sebelum dibawa keluar dari kawasan tersebut,” katanya.
Operasi melibatkan empat anggota APM dengan menggunakan sebuah ambulans pacuan empat roda serta peralatan seperti penjerut, topi keledar keselamatan dan sarung tangan.
Oleh Adi Safarman





