
KOTA SAMARAHAN: Di sebalik rimbunan hijau yang menyegarkan mata, tersembunyi satu bahaya yang senyap namun mengancam nyawa penduduk, dahan pokok yang menjulur liar terlalu dekat dengan kabel telekomunikasi.
Ia bukan sekadar isu landskap, tetapi soal nyawa dan keselamatan awam.
Jalan Kampung Entingan, yang menjadi nadi perhubungan kepada tiga buah kampung iaitu Kampung Entingan, Kampung Nangka dan Kampung Pinang kini berdepan ancaman senyap daripada dahan kayu yang tidak dicantas dan dibiarkan tumbuh liar.
Kabel telekomunikasi yang bergantungan rendah semakin terancam apabila dahan pokok terus menggesel, menekan dan mengheretnya. Kesan geseran berterusan boleh menyebabkan kabel terputus secara tiba-tiba serta memutuskan talian komunikasi penting.
Kendur dan menjuntai rendah menjadi perangkap bahaya kepada pengguna jalan apabila dahan patah atau tumbang sekali gus memburukkan keadaan semasa rebut.
Lebih membimbangkan, keadaan ini bukan sahaja menjejaskan perkhidmatan komunikasi, malah boleh menjadi perangkap maut apabila dahan bersentuhan dengan kabel elektrik.
Walaupun kabel telekomunikasi biasanya tidak berarus tinggi, risiko renjatan elektrik tetap wujud jika dahan atau pokok tumbang menolak atau menyentuh kabel elektrik yang berhampiran.

Menurut Nathaniel Milon, penduduk Kampung Entingan, beliau menyuarakan kebimbangan mendalam akan kemungkinan berlaku kemalangan terutama kepada kanak-kanak yang berjalan kaki pulang dari sekolah dan penduduk setempat yang melalui laluan tersebut yang merupakan akses utama untuk keluar bekerja dan sebagainya.
“Kami risau dahan besar itu boleh patah bila-bila masa dan menarik sekali kabel jatuh ke tanah. Kalau terkena orang, apatah lagi budak sekolah, boleh jadi tragedi,” katanya.
Ketika musim hujan dan cuaca tidak menentu seperti sekarang, dahan yang basah boleh bertindak sebagai konduktor elektrik sekali gus meningkatkan risiko renjatan yang boleh membawa maut.

Situasi ini menunjukkan betapa pentingnya tindakan pantas dan menyeluruh daripada pihak berkuasa.
Penduduk berharap agar kerja pemangkasan dan pemantauan pokok berhampiran talian utiliti dilakukan segera, bukan hanya demi keselesaan tetapi demi keselamatan.
“Jangan tunggu tragedi berlaku baru bertindak. Ini bukan sekadar soal pokok atau kabel, ini soal nyawa,” ujar seorang lagi penduduk tempatan yang enggan dikenali.

Kita cintakan alam, kita dambakan kehijauan tetapi tanpa pengurusan dan penyelenggaraan berkala, pokok yang tumbuh megah boleh menjadi punca bencana.
Pihak berkuasa tempatan dan pemilik tanah perlu mengambil tindakan segera untuk memangkas dahan berhampiran kabel utiliti secara berkala serta langkah pencegahan ini amat penting bagi mengelak kejadian tidak diingini yang boleh mengorbankan nyawa dan menjejaskan perkhidmatan penting.
Oleh Norman B