MAKKAH: Sumbangan derma orang ramai untuk membantu pesara guru dari Sarawak yang masih terlantar di Hospital Pakar Al-Noor di sini sejak sebulan lalu, sudah mencecah angka lebih RM17,000 setakat petang semalam.
Ia bagi membantu Jaliha Sakli, 56, yang mengidap meningitis menyelesaikan sebahagian bil hospital, yang sudah berjumlah SR116,000 (RM135,612).
Jaliha, berasal dari Kampung Pangtray, Daro di Bahagian Mukah, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu pada 15 Januari lalu.
Jaliha mulai pulih setelah koma 11 hari, kemudian dimasukkan ke wad biasa tetapi masih lemah untuk berjalan.
Suaminya, Ahmad Abas Ali, 58, bagaimanapun melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada orang ramai yang memberi sumbangan.
“Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada anda semua. Hanya Allah boleh membalas jasa kalian. Ini termasuk organisasi yang bantu kempen melalui video berdasarkan laporan oleh Utusan Sarawak dan juga Berita Harian,” katanya.
Orang ramai yang sudi memberi sumbangan boleh memasukkan derma terus ke akaun maybank 161109276756 milik Jaliha Sakli.
Ahmad Abas boleh dihubungi melalui nombor 0198649009 (boleh What’s App) atau nombor di Makkah 966-530-425-187 (panggilan sahaja).
Ahmad Abas dan isterinya sudah selesai mengerjakan tiga kali umrah dan bersedia untuk berangkat pulang ke Malaysia apabila Jaliha dijangkiti meningitis.
Mereka berdua bersama rombongan melalui agensi pelancongan umrah swasta tiba di sini pada 28 Disember lalu untuk pakej umrah selama 22 hari.
Laporan daripada Kadir Dikoh
Keterangan gambar
PULIH… Ahmad Abas bersama isterinya Jaliha ketika di wad biasa Hospital Pakar Al-Noor, Makkah.