KOBE, Jepun: Lima ekor anak kucing Pallas, yang digelar sebagai spesies kucing paling bermuka masam di dunia kerana ekspresi wajahnya yang kelihatan muram, mula dipamerkan kepada orang ramai di sebuah zoo di Jepun.
Kobe Animal Kingdom mula membuka pameran kepada empat ekor jantan dan seekor betina itu, yang semuanya dilahirkan di zoo berkenaan pada Mei lalu, kepada pengunjung sejak minggu lalu.

Spesies berkenaan dipercayai antara spesies kucing tertua yang masih hidup dan berasal dari kawasan kering serta berbatu di Asia Tengah.
Menurut kenyataan bertulis Kobe Animal Kingdom kepada AFP, kucing Pallas jarang dipamerkan di zoo kerana lebih mudah terdedah kepada jangkitan penyakit.

Ketika dilahirkan, setiap anak kucing itu hanya seberat kira-kira 150 gram, namun kini beratnya telah melebihi satu kilogram dan sudah mula memakan makanan pejal seperti daging ayam dan daging kuda.
“Kami berharap orang ramai datang melihat sendiri betapa sihatnya mereka, bermain dengan penuh riang dan tidur lena seperti kanak-kanak,” menurut kenyataan zoo itu. — AFP



