SIBU: Seorang anak kapal dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di Kapit kerana mendatangkan kecederaan terhadap teman wanitanya, gara-gara sampah di belakang rumah.
Franky Melintang, 31, didakwa mendatangkan kecederaan terhadap mangsa berusia 38 tahun di sebuah rumah panjang Nanga Balleh, Kapit pada 4 Jun 2024, kira-kira 4.00 petang.
Tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dimana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, pada 4 Jun 2024, sekitar 4.00 petang, bertempat di rumah panjang di Nanga Balleh, Kapit, teman lelaki pengadu telah bertindak menumbuk mukanya, menyebabkan dia mengalami kesakitan dan lebam di beberapa bahagian muka dan mulut.
Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku apabila pengadu telah bertengkar mulut dengan tertuduh, dimana kedua-dua mereka sebelum itu sama-sama minum minuman keras oleh kerana masih menyambut Gawai.
Tertuduh tidak puas hati kerana pengadu telah bertengkar mulut dengannya mengenai sampah di belakang dapur kawasan rumah, dimana tertuduh telah memaklumkan bahawa sampah tersebut telah dibuang oleh bapa tertuduh dan menyuruh pengadu untuk melihat sendiri di belakang rumah.
Namun pengadu enggan dan akibat itu, tertuduh telah menumbuk cermin dinding dan menolak muka pengadu dengan menggunakan tangannya, hingga mendatangkan kecederaan terhadapnya.
Pemeriksaan doktor mendapati pengadu mengalami kecederaan pada muka, mulut dan hidung, namun luka yang dialami tidak serius.
Franky dibebas setelah membayar denda yang dikenakan oleh mahkamah.
Oleh Akun Giman